Liga Malaysia 2015: Sarawak punyai ramai pilihan

0

KUCHING: Kancah Liga Malaysia 2015 bakal menyaksikan Sarawak mempunyai ramai pilihan pemain untuk diserapkan dalam pasukan terutamanya apabila jika pemain utama mengalami kecederaan atau digantung perlawanan.

Sarawak pada musim lalu menghadapi masalah kecederaan pemain utama selain tidak mempunyai banyak pilihan pemain gantian terutamanya di barisan serangan.

Jentera serangan Ngap Sayot musim lalu agak tumpul selepas bekas penyerang import, Muamer Salibasic dibelenggu kecederaan berpanjangan dan berehat hampir sepanjang musim.

Namun, masalah tersebut sedikit terubat dengan kehadiran pemain import dari Australia, Ryan Alan Griffiths.

Musim baharu Liga Malaysia nanti akan memperlihat gandingan Griffiths dan penjaring terbanyak Kedah, Billy Mehmet.

Penolong jurulatih Sarawak, David Usop berkata kemasukan beberapa pemain baharu menyaksikan Sarawak mempunyai banyak pilihan sebagai pemain gantian.

“Musim lalu kita berdepan masalah pemain kerana pemain-pemain yang mampu mengisi posisi tertentu agak terhad.

“Tetapi, musim depan kita memiliki ramai pemain yang boleh menggantikan pemain-pemain utama,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berharap setiap pemain baharu dapat menggalaskan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

“Pemain-pemain baharu perlu cepat mengadaptasikan corak permainan kita. Ini kerana lain jurulatih… lain pula strateginya,” ujar David.

Ketiadaan pemain-pemain utama seperti S Chanthuru dan Junior Eidstal pada peringkat permulaan mungkin memberi sedikit kesan kepada pasukan Sarawak.

“Mungkin peringkat awal memberi impak kepada pasukan. Namun, saya yakin pemain-pemain baharu dapat membantu Sarawak beroleh kejayaan pada musim depan,” katanya.

Sarawak bertandang ke Miri pada 27 November depan sebelum mengadakan perlawanan persahabatan pada 28 November.

Seterusnya anak-anak buah Robert Alberts akan menentang Sabah pada 30 November dan menentang Limbang pada 2 Disember depan sebelum berangkat pulang ke Kuching.