Maut elak lopak

1

Oleh Kepu Sidi //

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta yang mahu elak daripada melanggar lopak air

NGERI: Situasi di lokasi kejadian berlaku pertembungan sebuah kereta dan motosikal yang mengakibatkan kematian.

BINTANGOR: Seorang penunggang motosikal maut dirempuh sebuah kereta

yang mahu mengelak daripada melanggar lopak air di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Mohd Hafifi Salim berkata berdasarkan siasatan awal, pemandu kereta itu dipercayai cuba mengelak melanggar lopak air sebelum hilang kawalan lalu bertembung dengan penunggang motosikal terbabit.

“Mangsa yang maut adalah seorang lelaki berusia 49 tahun.

“Ketika kejadian mangsa dipercayai menunggang motosikal sendiri  menghala ke Jalan Skim B manakala kereta dinaiki pasangan terbabit dari arah bertentangan.

“Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai mengalami kecederaan serius di beberapa bahagian penting badan,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohd Hafifi, kejadian ini berlaku sekitar jam 6.44 pagi semalam.

Katanya pasangan suami isteri yang masing–masing berusia 23 dan 20 tahun yang menaiki kereta terbabit hanya mengalami kecederaan ringan.

Mayat mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk menjalani proses selanjutnya sebelum dituntut keluarganya.

“Kes ini masih dalam siasatan dan disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.