Muhyiddin garis pelan tindakan pemulihan Cameron Highlands

0

MENINJAU: Muhyiddin (tengah) ketika melakukan tinjauan di kawasan penerokaan haram di Habu di Cameron Highland, semalam. — Gambar Bernama

CAMERON HIGHLANDS: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menggariskan pelan tindakan bagi mengembalikan semula Cameron Highlands sebagai pusat peranginan utama di negara ini.

Timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands berkata pelan jangka pendek dan panjang itu termasuk pengawasan projek pembangunan dan aktiviti pertanian serta masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di tanah tinggi itu.

“Usaha ini bukan sahaja untuk memulihara alam sekitar malah mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal dengan kebersihan alam sekitar dan hutan semula jadi yang amat menarik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands di sini semalam.

Beliau berkata bagi mengawasi pembangunan di Cameron Highlands, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diminta meneliti semula Pelan Tempatan yang telah diluluskan sebelum ini supaya ia diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Contohnya bagi pembangunan hartanah yang dikemukakan, kerajaan negeri bolehlah pertimbangkan atau hadkan penggunaan kawasan yang hendak dimajukan,” katanya.

Bagi aktiviti pertanian, Muhyiddin berkata kawasan tanaman baharu tidak perlu lagi diwujudkan berikutan tanah yang diteroka untuk tujuan pertanian mencapai hampir 8,600 hektar.

Katanya mengikut perancangan sebenar Cameron Highlands, kawasan pertanian, sepatutnya hanya meliputi 2,300 hingga 2,500 hektar tanah.

“Selain itu, tanaman yang diusahakan di sini pun kita kena lihat apa yang boleh dianggap sesuai,” katanya.

Beliau berkata Lesen Pendudukan Sementara (TOL) perlu dibekukan untuk sementara waktu supaya sebarang kegiatan pertanian haram dapat dikesan.

Mengenai masalah Pati yang bekerja di kawasan berkenaan, Muhyiddin berkata semua agensi peringkat persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Mengikut Peguam Negara, kita tidak ada masalah dari segi undang-undang, ia sudah cukup baik (berkaitan) soal tanah dan pendatang tanpa izin atau penerokaan tanah secara haram. Yang penting enforcement (penguatkuasaan) enforcement, enforcement, enforcement,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lembah Bertam akan dipindahkan ke tempat yang lebih selamat atas persetujuan pihak lembaga sekolah berkenaan dengan dibiayai Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mengenai dakwaan petani bahawa mereka telah memohon untuk Program Pemutihan 6P bagi Pati dan telah membayar yuran namun masih belum memperoleh dokumen pengesahan, beliau meminta majikan terlibat untuk merujuk semula masalah berkenaan kepada Jabatan Imigresen.

“Yang penting ada bukti kalau dia kata sudah bayar, ada cap jari dan dia tidak dapat surat kerja sah, bermakna ada benda yang masih tergantung. Kalau betul dia sah, sahih, maka kita boleh timbangkan perkara itu,” katanya.

Mengulas dakwaan terdapat 2,000 hingga 3,000 Pemegang Kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) yang bekerja di Cameron Highlands, beliau berkata: “Kita tidak menandatangani apa-apa konvensyen tentang pelarian ini, dia kena bincang dengan UNHCR, lepas tu dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia, kalau kita fikir ada keperluan munasabah, boleh timbangkan dalam kes yang berlaku di sini.”

Ditanya mengenai dakwaan rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan dan penguatkuasaan sehingga berlakunya penerokaan tanah secara berleluasa, Muhyiddin berkata bukti yang cukup perlu ada sebelum sebarang tuduhan dilemparkan terhadap mereka.

“Kita kena berlaku adil kepada pegawai atau pihak mana sekalipun, kalau dia bukan pegawai kerajaan sekalipun, kita tidak boleh tuduh dan menuding jari,” katanya. — Bernama

Muhyiddin meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mereka mempunyai maklumat mengenai dakwaan tersebut.

SPRM adalah badan bebas yang akan mengambil tindakan sewajarnya jika dakwaan itu benar, katanya.

Beliau juga berkata semua agensi penguat kuasa akan disatukan dalam satu pusat sehenti di sini untuk satu tempoh yang sesuai bagi memastikan keberkesanan pemulihan Cameron Highlands.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 Nov lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan, di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

Penerokaan tanah secara haram dikatakan antara faktor berlaku banjir dan tanah runtuh di daerah tanah tinggi ini. — Bernama