Penerbangan bawa mangsa letupan lombong terpaksa mendarat di Miri

0

TIBA: Doktor-doktor dan pengamal perubatan menyorong mangsa ke ambulans setelah mendarat di Miri.

KUCHING: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri terpaksa mendarat di Miri sebelum meneruskan perjalanan membawa dua mangsa letupan lombong arang batu di Selantik, Pantu di Sri Aman ke Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu, Sabah.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Farhan Sufyan Borhan berkata, transit bagi perjalanan yang dimulakan jam 12.15 petang dari bandar raya ini terpaksa dibuat berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan untuk meneruskan perjalanan.

“Pasukan kami tiba di Miri jam 3.15 petang, kerana keadaan cuaca tidak mengizinkan untuk meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu dan mangsa-mangsa kini ditempatkan di Hospital Miri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, tiga pekerja asing yang terkorban dalam letupan itu dijangka mula dibedah siasat hari ini.

Mereka yang dikenal pasti sebagai Tun Tun Win, 36 dari Mynmar, Pang Chung Hyok, 29 dari Korea Utara dan Kardianto, 38 dari Indonesia tiba di Hospital Umum Sarawak sekitar 3 petang, semalam selepas bertolak dari Hospital Sri Aman kira-kira jam 11.30 pagi.

Pemberita yang telah berkampung di kawasan HUS sejak tengah hari turut mengalami kesukaran untuk memasuki kawasan rumah Rumah Mayat berikutan kawalan ketat oleh pengawal keselamatan.

Seramai sembilan pekerja dari Korea Utara cedera, di mana lima daripadanya cedera parah, tujuh pekerja Myanmar (seorang parah), dua pekerja Bangladesh (seorang parah), sembilan Indonesia (tiga parah) dan enam pekerja China (dua parah) sedang menerima rawatan di Hospital Sri Aman, HUS, Pusat Perubatan Borneo dan Pusat Perubatan Pakar Normah, termasuk Hospital Miri.

Sementara itu, Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) terus menjalankan pemantauan di terowong arang batu di Selantik, Pantu, Sri Aman, semalam.

Pemantauan tiga anggota selama hampir sejam dalam ke terowong lombong arang batu itu mendapati tidak ada gas bahaya wujud.