PGM perkenal ‘Golf Di Sekolah’

0

Oleh Patricia Gari //

Perluas program pembangunan golf remaja di sekolah-sekolah Sarawak tahun depan

KUCHING: Persatuan Golf Malaysia (PGM) akan memperluas program pembangunan golf remaja iaitu ‘Golf Di Sekolah’ kepada sekolah-sekolah di Sarawak tahun depan.

Menurut kenyataan akhbar persatuan itu semalam, program itu bertujuan memperkenal permainan golf kepada guru-guru dan pelajar-pelajar.

Rancangan itu telah diumumkan oleh Presiden PGM, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor pada pertemuan dengan Presiden Persatuan Golf Sarawak (PGS), Hoan Kee Hock di Kelab Golf Sarawak (KGS) di sini semalam.

“Kami akan memperluas program ini kepada empat buah sekolah di Sarawak dan membantu mempromosikan permainan golf kalangan guru-guru dan pelajar,” katanya dan menambah program itu dilancarkan di Semenanjung Malaysia tahun lalu melibatkan tujuh buah sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Menurutnya, PGM bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak (JPNS) dan PGS melancarkan program tersebut dijangka pertengahan tahun depan.

“Kami menyerahkan kepada Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak mencadangkan sekolah-sekolah terlibat dalam program ini dan kita bekerjasama dengan PGS dalam pelaksanaannya,” kata Mohd Anwar.

Menurutnya, program itu terbukti popular di kalangan guru dan pelajar di Semenanjung Malaysia kerana membolehkan mereka mempelajari golf – permainan yang ramai ibu bapa tidak mampu menghantar anak-anak mereka untuk belajar.

Anwar berkata, melalui program itu ramai murid sekolah dari keluarga sederhana boleh belajar golf dan secara beransur-ansur berpeluang mengasah bakat serta kemahiran mereka.

Sejak dilancarkan tahun lalu, kira-kira 300 pelajar sekolah rendah dan menengah mengambil bahagian program ini dengan jumlah paling tinggi ialah SK St John Kuala Lumpur dengan 70 orang pelajar.

Fasa pertama program tersebut melibatkan latihan guru-guru terpilih yang dilatih pemain pro PGM, V Gunalen dan Jim Staereling, Pengarah Pelajaran dari PGA (Persatuan Golf Profesional) Belanda.

“Kami komited bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran dalam memenuhi objektif program yang direka dan bertujuan menggalakkan pembangunan golf remaja di peringkat sekolah,” katanya.

Sementara itu, presiden PGS Hoan Kee Hock menghargai PGM atas inisiatif mengadakan program golf di Sarawak dan merupakan petanda baik bagi pembangunan golf tempatan.

Menurutnya, golongan muda terutama masih di bangku sekolah harus diberi pendedahan awal mengenai golf yang mampu menanam nilai-nilai murni seperti kejujuran, semangat kesukanan dan setia kawan.

“Kami gembira kerana program tersebut akan diperluaskan ke sekolah-sekolah di Sarawak dan PGS bekerjasama rapat dengan PGM dan Jabatan Pelajaran Negeri bagi kelancaran pelaksanaannya,” kata Hoan.