Program Hello Komoditi di Betong diterima positif

0

Oleh Saleman Senin //

PENERANGAN: Jabu mendengar penerangan daripada pegawai di salah sebuah gerai pameran.

PROGRAM Hello Komoditi yang berlangsung di Betong, baru-baru ini mendapat perhatian dan penerimaan positif dalam kalangan peserta seminar dan pengunjung.

Program di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia yang merupakan langkah mendekati dan merai pekebun kecil, golongan belia, usahawan komoditi dan penggiat industri komoditi telah mencapai sasaran penganjuran apabila ia menerima 4,000 kehadiran.

Pada masa sama, MPIC bertanggungjawab dan berperanan menterjemahkan Dasar Komoditi Negara (DKN) dengan mentransformasikan industri komoditi negara ke arah lebih berdaya saing dan mampan menjelang 2020.

Antara pengisian program ialah penganjuran seminar komoditi, pameran, demonstrasi dan jualan produk komoditi serta hari bertemu pelanggan.

Penganjuran Seminar Keusahawanan dan Tanaman Komoditi pula disasarkan khusus kepada penggiat dalam industri komoditi atau pekebun kecil, belia dan usahawan komoditi dan melalui seminar tersebut para peserta didedahkan dengan pelbagai maklumat mengenai bantuan dan bimbingan keusahawanan komoditi yang disediakan kerajaan.

Seminar tersebut dihadiri seramai 1,500 peserta yang terdiri belia dan pekebun kecil komoditi dari seluruh Sarawak.

Program Hello Komiditi ini turut disertai agensi-agensi di bawah MPIC iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) serta Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Agensi-agensi kerajaan lain yang mengambil bahagian dalam pameran ialah Jabatan Pertanian Betong, Pertubuhan Peladang Kawasan, Komuniti 1Malaysia, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA), CRAUN Research Sdn Bhd, Lembaga Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Program dua hari tersebut juga memberi ruang dan peluang untuk masyarakat sekitar mengetahui dan mengenali tentang produk-produk komoditi serta hasil yang memberi manfaat kepada negara.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu Numpang dan turut dihadiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

CENDERAMATA: Uggah menyampaikan cenderamata kepada Jabu sempena perasmian Program Hello Komoditi.