Sejauh mana SME bersedia untuk pelaksanaan GST?

0

Oleh Jessica Jawing //

TIDAK BERSEDIA: Koh ketika ditemu ramah baru-baru ini menyatakan, pengusaha SME antara kumpulan peniaga yang disifatkan masih ‘sambil lewa’ dalam menyediakan diri untuk pelaksanaan GST.

KURANG lima bulan lagi, maka bermulanya sistem cukai baharu di negara ini iaitu Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai GST, yang menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Cukai itu antara lain turut membabitkan syarikat atau pengusaha industri tempatan dalam sistemnya di mana kesemua golongan berkenaan perlu mendaftar sebelum ia dilaksanakan.

Namun apa yang menjadi isu kini ialah sejauh manakah sesebuah syarikat dan pengusaha industri kecil dan sederhana (SME) khasnya di Sarawak sudah bersedia dengan GST sebelum ia dilaksanakan pada 1 April 2015.

Menurut Pengarah Eksekutif Cukai dan Cukai Langsung Ernst & Young Tax Consultant Sdn Bhd Koh Siok Kiat, pengusaha SME antara kumpulan peniaga yang disifatkan masih ‘sambil lewa’ dalam menyediakan diri untuk pelaksanaan GST.

Katanya, beliau menerima maklum balas kebanyakan daripada pengusaha SME masih tidak memahami tentang impak sebenar GST ke atas perniagaan mereka.

“Daripada penilaian peribadi saya, kumpulan SME sangat bersikap sambil lewa di mana saya menerima maklum balas bahawa kebanyakan mereka masih tidak faham dengan kesan GST.

“Kebanyakan mereka masih menganggap ia semudah Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan dan mereka memikirkan bahawa hanya perlu membayar enam peratus daripada hasil kepada kastam, itu sahaja,” katanya ketika ditemu ramah selepas Seminar GST anjuran Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) di Wisma STA di Kuching, baru-baru ini.

Jelas Koh, kumpulan berkenaan adalah antara yang setakat ini masih belum melakukan apa-apa dalam menyediakan diri terhadap pelaksaan cukai baharu itu.

Katanya, malahan kerajaan turut menyedari perkara itu dan menyediakan pelbagai program asas seperti seminar dua hari atau seminar tiga hari yang memperjelaskan mereka tentang syarat GST.

“Namun apa yang saya terima daripada maklum balas adalah, program sedemikian hanya seperti pengetahuan buku teks sahaja kepada mereka, mereka hanya faham peraturan dan undang-undang di bawah GST dan sebagainya.

“Mereka bagaimanapun tidak memahami aktiviti perniagaan itu sendiri semasa pelaksanaan GST dan saya melihat di situ kelemahannya kerana mereka sewajarnya lebih tahu daripada perkara itu.

“Saya juga melihat misalnya ketika menghadiri seminar yang dianjurkan kebanyakan ketua atau pengusaha SME, mereka hanya menghantar kakitangan atau pekerja tetapi kebanyakan mereka selepas sahaja sesi habis, mereka masih lagi tidak memahami,” kata Koh.

Maka itu beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya menganjurkan program berkaitan GST secara lebih kepada kerjasama praktikal mengenai isu perniagaan.

Antaranya memasukkan modul teknologi maklumat (IT) kerana pematuhan dalam GST nanti sangat bergantung kepada perisian perakaunan.

“Adalah mustahil untuk kumpulan itu melakukan pelaksanaan itu secara manual melainkan transaksi mereka berada dalam keadaan yang sangat baik,” tegasnya.

Bagi syarikat besar atau yang disenaraikan khasnya, beliau merasakan ia tidak ada masalah kerana kumpulan itu telah bersiap sedia lebih awal sebelum pelaksanaan GST.

Kebanyakan syarikat besar telah bekerjasama dengan konsultan GST dan vendor IT seawal tahun ini selepas sahaja pengumuman pelaksanaan GST pada Oktober tahun lepas.

Sehubungan itu setakat ini, kebanyakan syarikat khasnya yang tersenarai sudah mengetahui tentang penyesuaian sistem.

“Kebanyakan syarikat besar dan tersenarai kini sedang mencapai sasaran mereka iaitu menyiapkan semuanya pada Januari tahun depan.

“Kumpulan ini tidak ada masalah, kerana mereka mempunyai sumber, ada pasukan kewangan spesifik dan unit operasi, membentuk pejabat pengurusan projek bagi menyelaras untuk memastikan semua syarikat bersedia dalam program GST ini,” kata Koh.

Jelas Koh lagi, kumpulan itu mungkin memahami lebih baik tentang GST kerana mereka lebih awal membuat persediaan dan tidak menunggu pada saat akhir.

Sementara itu kerajaan mewujudkan GST di negara ini untuk menangani kelemahan yang terdapat dalam sistem SST sedia ada.

Antaranya termasuk ketirisan hasil kerajaan akibat aktiviti penyeludupan, pemindahan harga serta manipulasi sumber yang sering berlaku di peringkat peniaga.

Namun kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari bahawa pada masa sekarang mereka sebenarnya telah dikenakan cukai kepenggunaan dalam perbelanjaan mereka iaitu dalam bentuk Cukai Jualan (lima peratus, 10 peratus atau kadar spesifik) dan Cukai Perkhidmatan (enam peratus atau kadar spesifik).

Elemen kedua-dua cukai ini telah diserap ke dalam harga jualan setiap barangan kecuali Cukai Perkhidmatan yang dikenakan di peringkat pengguna akhir seperti di kedai-kedai makanan, kawasan letak kereta berdaftar dan yuran perkhidmatan profesional.

Apabila GST dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan serentak.