16 Disember sebutan kes remaja bunuh ibu

0

MIRI: Mahkamahh Majistret di sini semalam menetapkan 16 Disember depan sebagai sebutan akhir kes seorang remaja lelaki dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian ibu kandungnya.

Manakala juvana terbabit diperintahkan supaya ditahan lanjut di Sekolah Tunas Bakti, Kuching sementara menunggu tarikh perbicaraan tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Lovely Natasha Charles setelah membenarkan permohonan dikemukakan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor .

Dalam permohonannya, Khairi memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan kes itu memandangkan laporan kimia dan laporan bedah siasat mangsa masih belum siap.

Juvana terbabit, 17, dari Jalan Riam di sini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit dituduh dengan niat melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian ibu kandungnya, Marife Resuello Wong yang merupakan warga negara Filipina.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 8.15 pagi, pada 5 April tahun ini di hadapan Kompleks Tenis, Jalan Datuk Tuah Johari di sini.