Beri penjelasan berhubung pembangunan kerajaan

0

LUBOK ANTU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh meminta ketua-ketua masyarakat turun padang bagi menerangkan program pembangunan kepada penduduk.

Beliau berkata rakyat memerlukan penjelasan tepat berhubung dasar-dasar kerajaan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tidak bertanggungjawab.

“Kalaulah sesebuah kawasan tidak dibangunkan maka ia memberi kesan kepada rakyat malah mereka ketinggalan berbanding tempat-tempat lain,” katanya pada Program Bersepadu Negeri Sarawak 2014 di Dewan Kompleks Sukan, Lubok Antu kelmarin.

Malcom turut menggesa ketua-ketua masyarakat membantu kerajaan mengubah paradigma rakyat berhubung projek-projek pembangunan.

Katanya perkara ini amat penting kerana pembangunan di sesuatu kawasan mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat.

“Justeru, kita berharap ketua-ketua masyarakat mengajak rakyat menerima pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Turut hadir Timbalan Residen Sri Aman Philip Peter Salam, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Sri Aman Cassidy Morris serta yang lain.

Program berkenaan dimeriahkan dengan pertandingan mewarna, gubahan bunga, masakan, demonstrasi memadam kebakaran serta pemeriksaan kesihatan.