Jaga kesihatan daripada usia muda

0

Oleh Kepu Sidi //

Merokok, pemakanan tidak sihat, kurang bersenam, tingkah laku berisiko meningkat

SARIKEI: Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata sikap dan kesedaran menjaga kesihatan diri harus bermula daripada usia muda.

Katanya terdapat jurang besar dari segi amalan dan pengetahuan masyarakat berkaitan penjagaan kesihatan.

Menurutnya hasil kajian badan kesihatan mendapati amalan merokok, pemakanan tidak sihat, kurang bersenam dan tingkah laku berisiko meningkat.

“Masyarakat harus sedar dan mendapatkan maklumat membina kemahiran amalan cara hidup sihat.

“Kesedaran penjagaan kesihatan harus dititik berat bermula usia muda bagi mengelak mudah mendapat penyakit.

“Setiap individu sepatutnya berfikiran positif, ubah cara pemakanan, bersenam dan mempraktikkan amalan gaya hidup sihat,” katanya pada pelancaran Kospen di sini kelmarin.

Menurutnya, amalan bersenam setiap hari bukan sahaja dapat menjamin kesihatan baik malah dapat menceriakan kehidupan.

Beliau berharap semua masyarakat dapat menjadikan amalan bersenam satu budaya bagi memastikan kesejahteraan hidup berkekalan sepanjang masa.

“Setiap lapisan rakyat perlu memupuk amalan hidup sihat dan boleh dilakukan dengan menyertai kegiatan sukan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong usaha Jabatan Kesihatan melaksanakan pelbagai kempen dan aktiviti komuniti supaya masyarakat dapat mengamalkan kehidupan sihat.

Katanya gaya hidup tidak aktif dikenal pasti penyebab pelbagai masalah kesihatan seperti obesiti, diabetes dan penyakit jantung.

“Kempen ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran melakukan aktiviti fizikal khususnya golongan belia.

“Ia penting bagi mewujudkan belia sihat kerana mereka bakal meneruskan legasi kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama Pegawai Daerah Daro Abang Mohamed Abang Turkey, Pegawai Perubatan Daerah Belawai Dr Anaiki Zaini, Penyelaras KEMAS Parlimen Tanjung Manis Noraini Siji dan Pegawai JASA Sarikei Ahmat Adai.