Kaunter bersepadu pelbagai perkhidmatan dipertimbang

0

KUCHING:Kerajaan negeri mempertimbang mewujudkan kaunter bersepadu yang menyediakan pelbagai perkhidmatan ditawarkan oleh semua agensi serta jabatan kerajaan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata ia antara proses penambahbaikan kepada sistem pengurusan keperluan pelanggan sedia ada.

“Kita sedang mempertimbang untuk melaksanakan konsep kaunter yang memberi perkhidmatan-perkhidmatan ditawarkan semua agensi serta jabatan kerajaan.

“Dengan kata lain, kaunter seperti MBKS, DBKU, SESCO dan sebagainya tidak lagi dibuka secara berasingan tetapi hanya satu kaunter yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan di bawah agensi-agensi ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Sektor Awam Sarawak 2014 di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Tambahnya penubuhan kaunter bersepadu itu akan memperkukuhkan lagi inisiatif pengurusan keperluan pelanggan sedia ada seperti SCS Talikhidmat Apps yang diperkenalkan pada Oktober tahun ini.

Beliau berkata talikhidmat itu merupakan aplikasi Apps bergerak pertama untuk orang awam memberi maklum balas terhadap perkhidmatan ditawarkan dengan pantas, mudah dan di mana sahaja.

“Masalah, rungutan dan keperluan rakyat mesti diurus serta diselesaikan dengan berkesan jika tidak sektor awam negeri akan gagal mencapai objektif iaitu menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia selain merakyatkan sektor awam,” ujarnya.

Persidangan sehari itu membawa tema ‘Penjawat Awam Kompeten Tonggak Perkhidmatan Awam’ yang menekankan enam nilai utama iaitu Integriti, Baik Hati & Penyayang, Sikap Kesegeraan & Sepunya, Profesionalisme, Semangat Berpasukan dan Berorientasikan Hasil.

Sepanjang persidangan, empat kertas kerja dibentangkan antaranya ‘Transformasi Kepimpinan-Enam Nilai Penting’ oleh Profesor Emeritus Akira Nakamura daripada Meiji University, Jepun dan ‘Menggalakkan Inovasi Untuk Memacu Transformasi Sektor Awam’ oleh Pengarah UNDP, Global Center for Public Service Excellence, Singapore Mas Everest-Philip.