Kecemerlangan tidak berjaya tanpa komitmen, kata Iqbal

0

BETONG: Kejayaan dan kecemerlangan sesuatu program tidak berjaya tanpa komitmen dan kerjasama semua pihak yang terlibat.

Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Betong, Mohamamad Iqbal Abdullah berkata, organisasi yang kukuh serta komited boleh menjamin kejayaan sesuatu program.

Beliau memuji kakitangan KEMAS Betong atas kecemerlangannya menganjurkan Bengkel Kemahiran Keibubapaan di Pusat Pertanian Bersepadu Layar di sini semalam.

“Kita kagum dengan kehadiran dan komitmen orang ramai menjayakan program ini. Justeru, peranan dan tanggungjawab amat penting dalam satu organisasi untuk menjayakan program,” katanya di sini semalam.

Iqbal berkata dalam usaha memperkasa jawatankuasa tabika, semua pihak termasuk guru perlu memainkan peranan lebih kreatif dan inovatif melahirkan organisasi mantap.

Justeru, pelbagai kaedah dan idea baharu perlu diketengah bagi membolehkan sesebuah tabika itu menarik dan memberi perhatian kepada masyarakat.

Jelasnya, dalam usaha melahirkan kanak-kanak cemerlang dalam pendidikan, ibu bapa harus memainkan peranan penting bukan mengharapkan 100 peratus pendidikan daripada guru.

“Keberkesanan penyampaian dan didikan kalangan guru tabika mampu menjadikan kelas tabika sebagai pilihan utama ibu bapa,” katanya.