Lebih RM18 bilion royalti minyak, gas sudah dibayar kepada Sarawak

0

MIRI: Sebanyak RM18.01 bilion (RM18,0100.45 juta) royalti minyak dan gas sudah dibayar kepada Kerajaan Negeri Sarawak sejak 10 tahun lalu.

Daripada jumlah itu, royalti hasil minyak yang dibayar kepada negeri ini berjumlah RM9.8 bilion (RM9,808.85 juta).

Manakala royalti bagi hasil gas yang dibayar kepada kerajaan negeri dalam tempoh tersebut bermula 2004 hingga 2013 ialah sebanyak RM8.2 bilion (RM8,201.6 juta).

Perkara tersebut dinyatakan dalam kenyataan balas oleh kerajaan negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Fong Pau Teck, bagi menjawab soalan Fong yang ingin tahu jumlah royalti minyak dan gas yang telah dibayar kepada Kerajaan Negeri Sarawak sejak 10 tahun lepas (2004 hingga 2013).

Menurut Fong, soalan berkenaan dikemukakan oleh beliau kepada Kementerian Kewangan, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung dari 10 hingga 19 November lalu.

“Ia adalah jawapan bertulis yang saya terima daripada pihak kementerian, berhubung soalan yang dikemukakan oleh saya dan rakyat perlu tahu jawapan tersebut,” katanya pada sidang media di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cawangan Miri di sini, kelmarin.

Berkenaan jumlah cukai jualan yang berjaya dikutip oleh kerajaan negeri bagi tempoh tahun 2011, 2012 dan 2013 pula, menyaksikan penurunan yang ketara  pada 2013 berbanding 2011, bagaimanapun naik pada 2012.

Pada 2011, jumlah cukai yang berjaya dikutip oleh kerajaan negeri ialah sebanyak RM523.5 juta manakala pada 2012 ialah RM561.6 juta.

Pada 2013 kutipan menurun kepada RM472.1 juta.

Menjawab soalan lain yang dikemukakan beliau tentang cukai jualan yang dikenakan oleh kerajaan negeri, Fong memberitahu bahawa dalam jawapan bertulisnya, Kementerian Kewangan mengesahkan dua barangan tersebut ialah minyak kelapa sawit termasuk minyak sawit mentah (CPO) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO) serta tiket loteri.