Limbang alami krisis air lima jam

0

Oleh Mastura Ismail //

Mulai jam 6.30 petang kelmarin hingga 11.30 malam akibat paip bocor

LIMBANG: Seluruh kawasan di sini mengalami krisis air selama lima jam bermula jam 6.30 petang kelmarin hingga 11.30 malam semalam akibat paip bocor di Batu 5, Jalan Kubong di sini.

Masalah kebocoran paip itu menyebabkan penduduk di sini mengeluh kerana tidak dapat melakukan aktiviti perniagaan dan harian termasuk mencuci pakaian, memasak dan mandi ditambah pula cuaca panas sekarang.

Ada juga sesetengah penduduk terpaksa berebut-rebut membeli air mineral untuk mandi, minum dan digunakan untuk aktiviti harian lain.

Difahamkan gangguan air kali ini disifatkan agak lama dan ada sesetengah kawasan terutama kawasan agak tinggi dan jauh masih berdepan dengan krisis air sehingga tengah hari semalam membabitkan perumahan Ranggau dan perumahan lain.

Pengurus LAKU Kawasan Limbang Ha Tung Ngie berkata pihaknya terpaksa memgambil masa agak lama mengenal pasti kawasan punca paip yang bocor.

Beliau berkata masalah paip bocor di kawasan terbabit difahamkan berlaku sejak seminggu lalu berikutan terdapat air di permukaan jalan.

“Kerja mengenal pasti paip bocor dijalankan jam 9.30 pagi kelmarin. Sekitar jam 3.30 petang kelmarin kami dapat mencari paip bocor namun banyak air bertakung perlu dipam keluar dan mengambil masa,” katanya di sini semalam.

Ha berkata kerja membaik pulih paip bocor sebesar 20 inci dilakukan termasuk mengorek lubang besar sedalam tiga meter bermula jam 6.30 petang hingga 11.30 malam semalam.

Katanya, kerja membaik pulih paip bocor siap selepas jam jam 11.30 malam dan kerja menyalurkan bekalan air mengambil masa untuk pulih.

“Memang masih ada kesan sampingan selepas kerja membaik pulih dijalankan untuk memastikan tekanan air kembali pulih seperti biasa.

“Tekanan air rendah masih berlaku di kawasan tinggi dan agak jauh,” katanya sambil menambah, tekanan air kembali pulih di kawasan rendah semalam.

Beliau memberi jaminan gangguan air dijangka akan pulih dalam masa sehari ini.

Dalam pada itu, beliau meminta pelanggan berdaftar LAKU agar mendaftar nombor telefon mereka dalam sistem LAKU bagi memudahkan pihaknya menghantar sistem pesanan ringkas termasuk notis sekiranya berlaku gangguan air kepada pelanggan mereka.

“Sistem diguna pakai LAKU masih belum mendapat sambutan kerana ramai pelanggan tidak mendaftar nombor telefon kepada kami sejak diperkenalkan dua tahun lalu,” katanya.