Pelancong China ingin lawat rakan di Sibu, diragut

0

KUCHING: Hasrat seorang pelancong dari China untuk melawat rakannya di Sibu terpaksa dibatalkan apabila lelaki tersebut dirompak di Jalan Lapangan Terbang di sini, semalam.

Mangsa, 53, yang menaiki penerbangan dari Singapura ke Kuching, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pagi semalam dan dijadual meneruskan perjalanan ke Sibu menggunakan bas.

Ketika sedang berjalan ke Kuching Sentral, dia dikatakan didatangi seorang lelaki bermotosikal yang terus meragut beg sandangnya.

Mangsa cuba mempertahankan beg itu tetapi gagal dan akhirnya tersungkur.

Dia bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan di bahagian lutut.

Polis turut ke lokasi untuk membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan.

Difahamkan, beg mangsa mengandungi wang tunai hampir RM2,000 selain matawang asing dan pasport.

Siasatan sedang dijalankan.