Perluaskan Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia

0

Oleh Henrietta Liza //

DBKU letak sasaran agar anugerah berkenaan pada tahun depan disertai kalangan rumah ibadat

KUCHING:Pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) meletakkan sasaran agar Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia Peringkat Kebangsaan tahun depan disertai kalangan rumah ibadat.

Desakan itu dibuat Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai ekoran pihaknya pernah merekodkan penyertaan rumah ibadat dalam pertandingan itu.

“Apabila tandas mereka bersih, maka ia juga mencerminkan kebersihan secara keseluruhan,” katanya pada sidang media meraikan tiga pemenang anugerah itu di Rotunda DBKU kelmarin.

Katanya sebanyak tiga tandas awam di kawasannya telah mengharumkan nama bandar raya Kuching kerana mendapat anugerah itu baru-baru ini.

Dua penerima Anugerah Emas pertandingan itu untuk kategori pusat beli-belah dan kategori sekolah menengah masing-masing dimenangi Plaza Merdeka dan SMK Tuanku Abdul Rahman.

Manakala Anugerah Perak untuk pertandingan yang sama dianugerahkan kepada Stesen Minyak Petronas Cawangan Tun Abang Haji Openg.

Majlis anugerah itu diadakan di Teluk Kemang, Port Dickson Negeri Sembilan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT) pada 22 November lepas.

Tambahnya, inisiatif utama penganugerahan berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada pengisian Kempen Tandas Bersih yang telah dijalankan sejak 2001 bagi mencapai sasaran sifar kotor di Malaysia menjelang 2020.

Sementara itu, DBKU juga telah menerima anugerah tertinggi empat bintang bagi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan bersama 10 agensi awam negeri di Alor Setar, Kedah kelmarin.

Selain itu kata Abang Abdul Wahap, DBKU juga telah menubuhkan Jawantankuasa Koordinasi Projek untuk menerima aduan awam mengenai projek infrastruktur yang dilaksanakan agensi kerajaan yang tidak menepati piawaian yang berkualiti.

Dengan itu, ‘Key Focus Activity’ (KFA) juga ditubuhkan dan beberapa siri bengkel telah diadakan untuk mencari jalan penyelesaian masalah berkenaan.

Hasilnya, projek yang berpotensi akan dipilih sebagai pemenang AHPT 2014 serta boleh ditanda aras oleh PBT atau agensi awam lain di negeri Sarawak nanti.

Turut hadir Pengurus Pemasaran Plaza Merdeka Andee Yeo, Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman Ragayah Madin dan wakil Stesen Minyak Petronas Cawangan Tun Abang Haji Openg Evayantie Wahyuni.