Seorang lagi maut

0

Oleh Sandy Mark Luna //

 Mangsa keempat insiden di Selantik meninggal dunia di HUS, enam lagi diterbang ke Semenanjung 

PENERBANGAN IHSAN: Salah seorang mangsa diusung masuk ke dalam pesawat TUDM untuk diterbangkan ke Semenanjung Malaysia.

KUCHING: Angka korban insiden letupan lombong arang batu di Selantik, Sri Aman meningkat kepada empat apabila seorang lagi mangsa menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS), malam tadi.

Mangsa warga Indonesia disahkan meninggal dunia sekitar jam 7 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan yang mengesahkan perkara itu memberitahu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di otak.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mendedahkan identiti mangsa sehingga keluarganya dimaklumkan oleh konsulat terlibat.

“Butir (identiti) tak boleh ‘release’ (didedahkan) sehingga konsul maklum kepada keluarga,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Terdahulu semalam, enam lagi mangsa yang melecur teruk dalam insiden itu diterbangkan ke beberapa hospital di Semenanjung Malaysia menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dr Zulkifli berkata, kesemua mangsa itu adalah antara 21 pelombong yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) sejak Sabtu lalu.

“Kita terpaksa merujuk mereka ke hospital negeri lain memandangkan kita tidak mempunyai kemudahan pakar yang mencukupi dalam merawat mangsa lecur di negeri ini,” ujarnya.

Dua daripada mereka dari Korea Utara dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyyah di Alor Setar, Kedah.

Manakala, warga Indonesia diterbangkan ke Hospital Sungai Buloh di Selangor, Hospital Universiti Sains Malaysia di Kelantan dan ke Hospital Kuala Terengganu.

Lelaki warganegara Myanmar pula dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

Tiga mangsa maut sebelum ini yang dikenal pasti sebagai Tun Tun Win, 36, dari Myanmar, Pang Chung Hyok, 29, dari Korea Utara dan Kardianto, 38, dibedah siasat di HUS mulai jam 8 pagi semalam hingga malam tadi.

Mayat ketiga-tiga pelombong itu tiba di HUS sekitar 3 petang kelmarin selepas dibawa dari Hospital Sri Aman pada Isnin.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengesahkan kawasan kejadian diserah semula kepada syarikat lombong arang batu untuk tindakan selanjutnya selepas Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Ranger Moos kira-kira jam 8.39 malam kelmarin melaporkan kawasan tempat kejadian telah selamat sepenuhnya daripada kandungan gas berbahaya.

Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) pula bertolak pulang dari lokasi kejadian pada jam 8.41 malam selepas operasi ditamatkan.

Turut hadir di lokasi, Komander Operasi  Penguasa Kanan Bomba I (PgKB) Yusri Mohd Yusof dan PPgB Izzuwan Abd Rahim.