Suami pulang ke Sibu, isteri lari ke Bintulu

2

Oleh Michael Ubam //

Lelaki sanggup pulang dari Papua New Guinea, isteri tinggalkan dua anak masih kecil

SIBU: Seorang lelaki tempatan bekerja di Papua New Guinea sanggup pulang ke tanah air setelah dimaklumkan oleh ahli keluarga bahawa isterinya melarikan diri ke Bintulu meninggalkan dua orang anak perempuannya yang masih kecil.

Terkejut dengan berita disampaikan ahli keluarganya di Hulu Mujong, Kapit pengadu dikenali sebagai ‘Roy’ meminta bantuan majikannya untuk membiayai tiket pulang ke tanah air bagi menguruskan masalah keluarganya yang kian goyah.

Bersimpati dengan pengadu yang sudah menabur bakti di syarikatnya sebagai mekanik sejak sekian lama, majikan berkenaan bermurah hati dan membenarkan pengadu pulang untuk menyelesaikan masalahnya.

Apabila tiba di sini pada 17 November lalu, Roy terus pulang ke rumah mentuanya di Hulu Mujong dan diberitahu oleh penghuni rumah panjang mengenai khabar terbaharu bahawa isterinya dikenali Grody Elot, 22, telah pergi mencari pekerjaan di Bintulu sejak seminggu lalu.

Menurutnya, dia tidak tahu sebab isterinya sanggup melarikan diri meninggalkan dua anak perempuan mereka yang berumur dua dan lima tahun.

“Apa yang dia minta lagi? Setiap bulan saya tidak pernah gagal mengirimkan wang belanja sebanyak RM2,000,” keluh Roy yang hanya pulang setahun sekali.

Katanya, dia telah berkahwin dengan isterinya sejak tujuh tahun lalu dan mencari nafkah keluarga sebagai mekanik jentera berat di sebuah kem pembalakan di Papua New Guinea beberapa tahun lepas.

Menurut pengadu, usaha untuk menghubungi isterinya melalui telefon bimbitnya gagal.

Namun dua hari lalu, Roy ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada isterinya menyatakan bahawa dia tidak dapat keluar kerana tidak dibenarkan oleh taukenya.

Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku terhadap isterinya, pengadu nekad membuat laporan polis di Balai Polis Sentral di sini pada jam 10 pagi semalam.

Roy juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan isterinya agar menghubungi Balai Polis Sentral, Sibu menerusi talian 084-336144.