Tubuh jawatankuasa bebas siasat letupan lombong: See

0

Oleh Nick Fletcher //

PKR gesa kaji semula kebenaran aktiviti perlombongan

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak meminta Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem segera mengarahkan penubuhan jawatankuasa bebas siasat kejadian letupan di lombong arang batu Selantik yang meragut tiga nyawa pekerja asing dan mencederakan 30 yang lain, di mana 20 orang dikatakan kritikal.

Naib Pengerusi PKR Sarawak See Chee How berkata, pihaknya juga telah menggesa kerajaan negeri melihat perkara itu sejak dua tahun lalu selepas empat pekerja asing warga China maut di lombong arang batu yang sama tetapi malangnya ia tidak diendahkan.

“Dengan kejadian maut kedua ini, tidak ada alasan lagi untuk kerajaan negeri membenarkan semula aktiviti perlombongan di lombong arang batu Selantik, sementara menunggu siasatan bebas secara menyeluruh agar semua standard kesihatan dan keselamatan dilaksana untuk memastikan kemalangan sedemikian tidak berulang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut See, faedah komersial dan perindustrian termasuk pendapatan dan keuntungan daripada eksploitasi serta perlombongan sumber asli mesti sentiasa diseimbangkan dengan kebimbangan alam sekitar dan sosial serta kesihatan dan keselamatan para pekerja sama ada tempatan atau asing.

“Terdapat peningkatan yang ketara tiga kali ganda dalam pengeluaran arang batu dari Sarawak di mana terletaknya 80 peratus daripada deposit arang batu di Malaysia dan pengeluaran lebih daripada 90 peratus.

“Pada 2007, 1.07 juta tan metrik telah dilombong dan dikeluarkan…ia meningkat kepada 2.95 juta tan metrik pada 2012.

“Bagaimanapun, royalti dan sewa yang diterima oleh kerajaan negeri adalah minimum di rantau ini iaitu sebanyak RM122 juta setahun.

“Kerajaan harus melihat ke dalam eksploitasi dasar perlombongan arang batu terutama untuk melindungi sumber arang batu yang sedikit dan rizab kita yang tinggal dianggarkan sebanyak 1,724 juta tan metrik di mana hanya 16 peratus diukur, 20 peratus ditandakan dan dua pertiga daripadanya adalah hanya disimpulkan,” katanya.

Berbanding di Indonesia, See berkata jumlah rizab arang batu dianggarkan 28 bilion tan metrik tetapi negara berkenaan pada tahun lepas melaksana satu usaha untuk mengehadkan pengeluaran dan merundingkan semula kontrak dengan pelombong untuk mengekalkan rizab.

Selain itu, katanya China juga mempunyai simpanan arang batu yang lebih daripada 150 bilion tan metrik manakala India mempunyai rizab arang batu lebih daripada 100 bilion tan metrik tetapi kedua-dua negara itu adalah antara pengimport terbesar arang batu di dunia.

“Ini menunjukkan bahaya industri perlombongan arang batu terhadap alam sekitar dan sosial serta nilai-nilai arang batu yang tidak dapat dinafikan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, See berkata lima dasar bahan api negara iaitu minyak, gas, tenaga hidro, arang batu dan tenaga diperbaharui perlu dilihat secara kritikal terutama di Sarawak.

Jelas beliau, terdapat kehadiran risiko yang jelas bahawa Sarawak adalah mengorbankan masa depan untuk memenuhi keperluan negara.

“Dengan itu, kami menyeru kerajaan negeri menggunakan kesempatan ini untuk melihat kepada industri perlombongan arang batu dan industri tenaga secara keseluruhannya,” katanya.