22 pasukan bakal bersaing pada kejohanan boling MAKSAK 29 Nov

0

KUCHING: Sebanyak 22 pasukan bakal berentap dalam Kejohanan Tenpin Boling Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Kuching yang akan disingkap tirainya Sabtu, 29 November ini.

Kejohanan yang disertai beberapa pasukan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang berdaftar dengan MAKSAK Bahagian Kuching akan berlangsung di Riverside Superbowl bermula jam 10 pagi.

Antaranya, Pejabat Residen Bahagian Kuching, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC), Lembaga Hasil Dalam Negeri (HDN), Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Yayasan Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pertanian Bahagian Kuching, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Air Kuching (LAK).

Pemangku Residen Bahagian Kuching, Zamhari Saidi berkata kejohanan julung kali ini dianjurkan Kelab Rekreasi Imigresen Sarawak (KERIS).

“Kejohanan ini menjadi landasan untuk memilih pemain berbakat bagi mewakili MAKSAK Bahagian Kuching untuk menyertai pertandingan di peringkat negeri mahupun kebangsaan,” katanya semasa taklimat kejohanan semalam.

Menurutnya, setiap pasukan akan bersaing dalam empat perlawanan mengikut format ‘cross lane.’

Pemenang akan membawa pulang Piala Pusingan Residen Bahagian Kuching bersama piala iringan, pingat dan hamper.