Berdepan Ngap Sayot, Limbang azam ulangi sejarah 25 tahun lalu

0

LIMBANG: Limbang berazam mengulangi sejarah kemenangan menentang skuad Liga Super Sarawak dalam perlawanan persahabatan pada Selasa, 2 Disember depan seperti yang pernah dicapai ketika menentang pasukan Ngap Sayot pada perlawanan sama, 25 tahun lalu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) Alidin @ Brahim Tawar berkata bahagian Limbang amat bertuah kerana terpilih untuk sesi jelajah pasukan negeri itu, selain Miri dan Kota Kinabalu.

“Pemilihan Limbang buat kali kedua dalam sejarah bola sepak tempatan ini akan dimanfaatkan sebaiknya untuk kita memberi saingan sengit seperti yang pernah dicapai pada kejohanan sama sekitar tahun 1989 ketika Limbang menentang Ngap Sayot,” katanya di sini semalam.

Alidin yang juga Pengerusi Liga Tempatan menjelaskan, beberapa pemain terhandal yang pernah membarisi senarai pemain Piala Sarawak lepas akan membarisi skuad Limbang minggu depan.

Ujar beliau, Limbang pernah membenam pasukan Ngap Sayop dengan jaringan 2-1 pada waktu itu, justeru pihaknya optimis mampu mengulangi sejarah manis tersebut.

“Kehadiran pasukan negeri sememangnya amat dinanti-nantikan, bukan sahaja sebagai platform untuk merapatkan hubungan dan kerjasama, tetapi juga sebagai medan untuk pemain kita menimba ilmu dan kemahiran sebanyak mungkin,” ujarnya lagi.

Alidin berkata, kehadiran skuad Liga Super Sarawak di wilayah utara negeri ini diharap dapat mengangkat pemain tempatan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat negeri.

“Inilah saat yang amat dinanti-nantikan, bukan saja para peminat sukan bola sepak tempatan, tetapi juga para pemain kita untuk mempamer aksi terbaik selain memastikan bakat dan kebolehan mereka dapat diketengahkan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar memeriahkan perlawanan persahabatan itu di Kompleks Sukan Limbang bermula jam 3 petang.

“Kehadiran adalah percuma, dan orang ramai dijemput hadir beramai-ramai dalam usaha kita terus menyokong dan memeriahkan sukan bola sepak tempatan di sini,” tambahnya.

Skuad Liga Super Sarawak akan tiba di Limbang pada Isnin, 1 Disember) depan untuk memenuhi slot selama  sejam  bersama peminat bola sepak bermula jam 5 petang hari yang sama.

Selepas perlawanan persahabatan, majlis makan lama akan diadakan pada malam 2 Disember sebelum mereka meneruskan jelajah ke kawasan lain keesokannya.