Ibu empat anak menderita darah otak dapat perhatian

0

Oleh Connie Sylvia Mesa //

Kerajaan akan bantu kebajikan keluarga terbabit, kata Lee

MIRI: Seorang ibu kepada empat anak yang mengalami masalah pendarahan otak selepas terjatuh dan terhantuk ketika melakukan kerja rumah mendapat perhatian Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin semalam.

Lee ditemani beberapa pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri dan wakil bahagian kebajikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini telah melawat Huong Hii Lang, 37, di rumah sewanya di Jalan Vanilla, Lorong Piasau 10.

Menurut Lee, beliau dimaklum mengenai Huong dan kemudian mendapat maklumat daripada Jabatan Kebajikan Miri (JKM).

“Selepas diberitahu mengenai Huong, saya cuba mendapatkan maklumat dan difahamkan dia bakal menerima bantuan JKM. Huong diberi bantuan RM300 setiap bulan oleh JKM.

“Bahagian Kebajikan SUPP juga akan membantu dari segi keperluan keluarga terbabit,” katanya selepas menyampaikan bantuan wang tunai kepada keluarga Huong.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu, pihaknya akan menghubungi Hospital Miri bagi mendapat rawatan lanjut berhubung masalah dihadapi Huong.

“Bahkan, kita akan memastikan keluarga itu mendapat semua bantuan yang layak mereka perolehi supaya pembelajaran anak dapat diteruskan. Kita mahu pembelajaran mereka tidak terabai demi masa depan mereka,” katanya.

Justeru, kata Lee, pihaknya turut membantu mendapatkan suami Huong yang dipercayai telah meninggalkan Huong serta anak-anak untuk bekerja ke Brunei sejak enam tahun lalu tanpa sebarang berita.

“Kita akan mendapatkan maklumat mengenai suami Huong dan bakal menyusul tindakan undang-undang berkaitan,” tambahnya.

Huong dikatakan terjatuh dan terhantuk di bahagian kepala ketika melakukan kerja rumah pada pagi 12 November lalu.

Selepas insiden terbabit, Huong tidak mampu bergerak sendiri dan memerlukan penggunaan lampin pakai buang dewasa serta bantuan keluarganya untuk bergerak.

Dengan pertolongan adik-beradiknya, Huong dihantar ke Hospital Miri untuk mendapat rawatan namun keluar wad selepas beberapa hari kerana tiada menunjukkan sebarang perubahan.

Adik lelaki Huong turut menghantarnya ke pusat perubatan swasta di sini serta mendapatkan pemeriksaan pakar tetapi keputusan mengesahkan Huong menderita pendarahan di otak dan memerlukan rawatan lanjut.

Adik Huong membuat laporan polis pada minggu lalu terhadap suami Huong atas dakwaan melakukan pengabaian bagi mendapatkan bantuan polis untuk mengesan abang iparnya itu.