Kolej Sunway Kuching terus lakar kejayaan

0

Oleh Agnes Tugong //

MoU peluang pelajar DIA lanjut pengajian di Universiti Nottingham Kampus Malaysia

KUCHING: Kolej Sunway Kuching melakar satu lagi kejayaan apabila termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Nottingham Kampus Malaysia pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Menerusi MoU itu, pelajar yang menamatkan program Diploma Perakaunan (DIA) di Kolej Sunway Kuching layak untuk melanjutkan pengajian tahun kedua bagi program prasiswazah yang ditawarkan oleh Nottingham University Business School (NUBS) di Universiti Nottingham Kampus Malaysia.

Tawaran oleh NUBS itu adalah terhad untuk tiga kursus iaitu BA Finance, Accounting & Management, BN Management Studies dan BA International Business Management tertakluk kepada kriteria kemasukan.

MoU ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Universiti Nottingham Kampus Malaysia Profesor Christine Ennew dan CEO Kolej Sunway Kuching Joseph Lim disaksikan oleh Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Dalam ucapan ringkasnya semalam, Masing berharap kerjasama itu akan melahirkan lebih ramai graduan Dayak berkualiti tinggi dalam bidang kewangan, perakaunan dan pengurusan pada tahun-tahun mendatang.

Sebagai Pengerusi Yayasan Pendidikan Teknikal Rakyat Sarawak (TERAS), beliau amat bangga dengan kejayaan kedua-dua pihak dalam memeterai MoU itu yang pasti menyumbang ke arah pembangunan bidang pendidikan.

“Setakat ini, lebih daripada 20 pelajar Dayak mengambil program DIA di Kolej Sunway Kuching di bawah skim biasiswa Yayasan TERAS.

“Pelajar-pelajar ini datang dari serata Sarawak (seperti) Bau, Kuching, Lawas, Sri Aman dan Julau.

“Dengan termeterainya MoU ini, besar harapan saya agar penerima biasiswa kami akan berpeluang untuk melanjutkan pengajian mereka dalam salah satu program yang ditawarkan oleh NUBS di Universiti Nottingham Kampus Malaysia,” katanya.

Menjelas lanjut mengenai tawaran pengajian tersebut, CEO Kolej Sunway Kuching Joseph berkata calon perlu memenuhi beberapa syarat kelayakan iaitu lulus DIA dengan CGPA sekurang-kurangnya 3 daripada 4, bahasa Inggeris SPM Gred A-, UEC Gred A2 dan lain-lain.

Pelajar, katanya, perlu menamatkan pengajian selama dua tahun setengah atau tiga tahun di Kolej Sunway Kuching bagi program DIA sebelum layak untuk memohon kemasukan tahun kedua di Universiti Nottingham.

Dalam pada itu, Universiti Nottingham Kampus Malaysia (UNMC) dibuka pada September 2000 dan menjadi universiti British pertama yang menubuhkan kampus di luar United Kingdom dan di Malaysia.

Menawarkan pendidikan terbaik United Kingdom dalam suasana Asia, program UNMC setaraf dengan kualiti yang ditawarkan di Kampus United Kingdom.