Mengaku memperdagang empat wanita, pemilik kedai urut dipenjara

0

MIRI: Seorang pemilik kedai urut dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM8,000 atau lapan bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen pagi semalam setelah mengaku bersalah atas empat tuduhan memperdagang empat wanita warga asing untuk tujuan eksploitasi.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Boon Fui Yan, 41, dari Shang Garden di sini telah didakwa atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 12 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2012) yang memperuntukkan hukuman penjara 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan yang dihadapi.

Berdasarkan keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh didapati memperdagangkan empat wanita warga Indonesia iaitu Mursini, 31 tahun, Hermawati, 40, Susiani, 40, dan Yati Sumiati, 40, untuk tujuan dieksploitasi dengan dipaksa bekerja tanpa dibayar gaji.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 5.25 petang, 6 November lalu di sebuah kedai urut di Jalan Merpati di sini.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara bagi setiap tuduhan yang dihadapi dan mahkamah memerintahkan hukuman itu dijalani oleh tertuduh secara berasingan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Stella Agustine Druce. Turut hadir pegawai penyiasat kes ASP Julius Panai.