Motosikal parkir di kaki lima akan dikompaun sebanyak RM20

0

SIBU: Berkuat kuasa 1 Januari tahun depan, setiap motosikal yang dipakir di kaki lima kedai bakal dikenakan kompaun sebanyak RM20.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Datuk Andrew Wong berkata, kompaun turut dikenakan kepada pemilik kedai menjual serta membaiki motosikal apabila mereka memarkir motosikal untuk dijual di kaki lima kedai.

“Bermula tahun depan, MPS mengenakan kompaun terhadap pemilik motosikal yang sengaja meletak motosikal di kaki lima. Kompaun sama juga dikena kepada pemilik kedai menjual motosikal.

“Ini kerana perbuatan memarkirkan motosikal di kaki lima hanya menyusahkan pejalan kaki yang hendak menggunakan kaki lima berkenaan,” ujarnya kepada pemberita selepas mesyuarat MPS, semalam.

Menurut Wong, tidak adil kepada pemilik kedai lain yang dibenar mengguna dua kaki ruang di hadapan kedai masing-masing sedangkan pemilik kedai motosikal sewenang-wenangnya menggunakan ruang melebihi had ditetapkan.

Selain itu katanya, kompaun itu diperkenalkan bertujuan menjadikan kaki lima di bandar ini mesra pejalan kaki.

“Tindakan memarkir motosikal di kaki lima menyukarkan pejalan kaki  terutama ketika hari hujan,” katanya sambil menambah masalah itu agak serius di Jalan Morshidi Sidek dan Jalan Ramin.

Dalam perkara berkaitan, Wong memberitahu kebanyakan tempat parkir motosikal di bandar ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana ramai memilih memarkir kenderaan di kaki lima kedai.

Misalnya, tempat parkir motosikal bersebelahan Tadika Chung Hua di Jalan Sanyan, kurang 50 peratus lot parkir di situ digunakan setiap hari.

Katanya, kurang daripada 10 peratus pemilik motosikal mengguna kemudahan mengunci motosikal disediakan MPS di tempat parkir motosikal di sekitar bandar ini.

“Alasan tidak menggunakan kemudahan itu selalunya kerana pemilik tidak mempunyai mangga mengunci motosikal pada besi yang telah disediakan.

“Ada juga memberitahu terlupa membuka mangga hingga menyebabkan kerosakan pada roda motosikal,” katanya sambil memberitahu ada juga memberi alasan belum serasi menggunakannya.

Namun, menurut Wong, semua kemudahan tambahan bagi mengunci motosikal itu adalah bagi memperketatkan aspek keselamatan.

“Ini sesuatu yang amat dikesali,” jelasnya sambil menggesa pemilik motosikal memasang kunci tambahan bagi menjaga keselamatan motosikal masing-masing.