MPS tidak tunduk ugutan politik

0

Oleh Reno Benjamin //

Polisi majlis dilaksana dengan integriti tanpa pilih kasih, kata TiongSIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tidak akan tunduk kepada ugutan atau ancaman politik sesetengah pihak sebaliknya terus menjalankan operasi dan pengurusan berintegriti tanpa pilih kasih.

Pengerusinya Datuk Tiong Thai King berkata, MPS amat kecewa dengan kenyataan segelintir ahli politik terutama dalam isu berkaitan penjaja di bandar Sibu.

“Majlis telah mengambil langkah positif bagi menguat kuasa polisi adil dan saksama. Namun amat mengecewakan isu penjaja ini telah dipolitik demi kepentingan peribadi,” katanya ketika berucap pada mesyuarat bulanan MPS, semalam.

Turut hadir ialah Timbalannya Datuk Andrew Wong serta Pemangku Setiausaha MPS, Abu Bakar Sepawi.

Menurut Tiong, MPS kecewa dengan kenyataan ahli politik terbabit yang hanya menyuarakan kepentingan kumpulan kecil penjaja.

“Mereka tidak mengambil kira objektif MPS yang mahu menjaga kepentingan kumpulan majoriti penjaja di sini,” jelasnya.

Ancaman wakil rakyat yang mahu mendapatkan sokongan semua parti politik Barisan Nasional (BN) bagi menuntut perubahan melibatkan pucuk pimpinan dan pengurusan MPS juga dikesali.

Tiong berkata, perbuatan itu lebih kepada satu ugutan jenayah dan ancaman terus kepada MPS.

Ia juga jelas Tiong, seolah-olah menghalang MPS melaksanakan polisi semasa yang terbukti adil, tegas dan konsisten.

“MPS ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berganjak dengan polisi sedia ada demi kebaikan penduduk Sibu. MPS bergerak bukan untuk kepentingan kumpulan tertentu sahaja,” tegas beliau.

Menurut Tiong, lesen penjaja dikeluar bertujuan memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Pihak berkuasa tempatan, katanya, mempunyai tanggungjawab dalam memastikan lesen itu diberi kepada golongan sasar.

“Bagaimanapun ada segelintir penjaja telah menyalah guna keistimewaan ini dan melanggar peraturan demi kepentingan diri. Pada masa sama, golongan yang benar-benar memerlukan tercicir.

“Oleh itu, MPS amat komited dalam membasmi amalan mementingkan diri golongan minoriti penjaja ini,” ujarnya.