Pelajar cedera ditetak selepas bergelut perompak bersenjata

0

KUCHING: Seorang pelajar universiti mengalami kesan tetakan di perut dan bahu selepas bergelut dengan perompak bersenjata di kediaman sewa di Kampung Bukit Berangan, Jalan Muara Tuang di sini, semalam.

Lelaki berusia 22 tahun dari Semenanjung Malaysia difahamkan bersendirian di rumah yang dikongsi bersama beberapa pelajar lain ketika kejadian sekitar jam 9 pagi, apabila terserempak lelaki tidak dikenali yang membawa pisau di ruang tamu.

Mereka dikatakan bergelut sebelum penceroboh itu merampas telefon bimbit dan beg duitnya, dan melarikan diri bersama seorang lelaki bermotosikal yang menunggu di luar rumah.

Akibat pergelutan tersebut, pelajar menyedari dia mengalami kesan tetakan terus menghubungi rakan serumah bagi memaklumkan kejadian tersebut.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki pertengahan umur dimasukkan ke HUS semalam selepas terjatuh dari tingkat tiga rumah kedai di Batu Kawa.

Mangsa berusia 43 tahun itu ditemui oleh orang awam sekitar 9.30 pagi sebelum dihantar ke HUS untuk rawatan.

Berdasarkan kesan kerosakan pada atap tingkat satu dan dua bangunan itu badan mangsa dipercayai terhempas di atas atap sebelum terjatuh.

Sumber memberitahu, mangsa dikhuatiri mengalami kecederaan saraf memandangkan dia tidak dapat merasai sebarang kesakitan di kakinya.