Peruntukan lebih besar untuk luar bandar

0

Kerajaan mahu penduduk luar bandar dapat nikmati pembangunan seperti di bandar

KUCHING: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata ia bertujuan memastikan penduduk di kawasan berkenaan dapat menikmati pembangunan seperti yang dirasai penduduk bandar meskipun agak lewat.

Sehubungan itu, Ketua Menteri mengingatkan ibu bapa di kawasan luar bandar agar tidak mengabaikan aspek pendidikan anak-anak kerana ia merupakan pelaburan penting untuk masa depan.

“Kelayakan akademik dan kemahiran yang baik merupakan jaminan kepada generasi muda luar bandar mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kerajaan telah menyediakan banyak institusi pengajian tinggi serta pusat latihan kemahiran teknikal dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang menjanjikan gaji lumayan selepas berjaya menamatkan pengajian kelak,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Bil. 2/2014 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.3 Tanjong Datu di Dewan Masyarakat Daerah Lundu dekat sini petang kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Halmi Hazmi.

Pada majlis itu, sejumlah RM3,206,000 geran MRP diagihkan kepada 101 penerima terdiri daripada persatuan, organisasi, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rumah-rumah ibadat di kawasan DUN Tanjong Datu.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri mahu pemimpin masyarakat sentiasa bersiap siaga menangkis tohmahan dan hasutan pihak tertentu yang bertujuan memburukkan kerajaan.

Pada majlis sama, ADUN Opar Ranum Mina turut menyampaikan geran MRP kepada 55 penerima di kawasannya membabitkan jumlah peruntukan RM583,000.

Hadir sama Pegawai Tadbir Daerah Lundu Haron Mahidi serta pemimpin-pemimpin masyarakat.