Terus cemerlang

0

Oleh Siti Aisyah Ramli //

GPN 2.52 untuk UPSR 2014 menyamai tahun lepas, prestasi terbaik Sarawak dalam 11 tahun

GEMBIRA: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Yot Sli (tengah) dikelilingi para pelajarnya yang memperoleh keputusan cemerlang 5A dalam UPSR yang diumumkan, semalam.

KUCHING: Sarawak melakar keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) terbaik dalam tempoh sebelas tahun apabila memperoleh gred purata yang mengekalkan keputusan cemerlang seperti tahun lalu.

Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata, keputusan itu turut melebihi pencapaian kebangsaan selaras dengan tema Jabatan Pendidikan Negeri iaitu ‘Menjulang Pendidikan Negeri Sarawak.’

“Saya amat berbesar hati mengumumkan Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri ini ialah 2.52, iaitu sama dengan GPN bagi 2013.

“Pada masa sama, melalui keputusan pencapaian ini juga, 59.05 peratus daripada 42,176 calon bagi Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan telah berjaya mencatat sekurang-kurangnya penguasaan minimum Gred C dalam semua mata pelajaran yang diambil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan analisis keputusan UPSR 2014 di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di Jalan Diplomatik, di sini semalam.

Menurut Serina, sebanyak 116 sekolah mencatat pencapaian 100 peratus pada tahun ini dengan 108 daripadanya merupakan Sekolah Kebangsaan (SK) dan lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Bagaimanapun, katanya, terdapat penurunan jumlah calon cemerlang yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran iaitu 4.41 peratus atau 1,862 calon berbanding 4.49 peratus atau 1,916 calon pada tahun lalu.

“Ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.08 peratus jumlah calon cemerlang yang memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran berbanding 2013 iaitu 1,362 calon adalah calon SK dan 500 yang selebihnya merupakan calon SJKC,” jelasnya.

Terdahulu, Serina turut memaklumkan 15 sekolah di seluruh negeri ini yang mencatat jumlah calon paling ramai memperoleh Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil didahului SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, Kuching dengan seramai 50 calon.

“Ini diikuti oleh SJK(C) Chung Hua Miri dengan mencatat 30 orang dan kemudiannya SJK(C) Tung Hua Sibu seramai 29 orang,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 20 daripada 21 buah sekolah yang memperolehi Gred Purata Sekolah 1.50 dan ke bawah adalah dari sekolah luar bandar dan pedalaman.

Antaranya ialah SK Sungai Siong, Sibu yang memperoleh GPS 1.24, SK Sungai Setulan Bintulu (GPS-1.27), SK Kampung Kebuaw Dalat (GPS-1.33), SK Penghulu Baya Mallang Baram (GPS-1.35) dan SJK(C) Tung Kiew Sibu yang mencatat GPS 1.37.

Dua sekolah pedalaman yang turut mendapat GPS cemerlang ialah SK Long Atip Baram dengan GPS 1.40 dan SK Tan Sri Datuk Temenggong Jugah Song iaitu dengan catatan GPS 1.40.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.