Tukang cuci mangsa tipu terbaharu

0

Oleh Michael Ubam //

Wang, barang kemas lebih RM60,000 lesap angkara tiga wanita ChinaSIBU: Seorang tukang cuci wanita menjadi mangsa tipu terbaharu modes operandi membabitkan tiga wanita warga China menyebabkan wang simpanan dan barang kemas dianggar bernilai lebih RM60,000 lesap selepas ditukar dengan air mineral, garam dan biskut.

Dalam kejadian berlaku pada 19 November lalu, mangsa berusia 50-an didatangi seorang wanita warga China yang konon meminta bantuannya mencari doktor kulit dan seorang sami pada jam 10 pagi di kawasan pasar di sini.

Mangsa menjawab tidak mengetahui mana-mana doktor kulit dan pada masa yang sama, seorang lagi wanita juga dipercayai warga China datang menyapa sambil memberitahu dia mengetahui tempat doktor kulit.

Mereka kemudian bersama-sama pergi ke hadapan sebuah bengkel motosikal di Jalan Tiong Hua dan berjumpa seorang lagi wanita, yang mendakwa cucu kepada doktor kulit berkenaan.

Bagaimanapun, cucu doktor itu melarang berjumpa di situ dan membawa mereka pergi ke sebuah gerai menjual laksa terletak di bawah jejantas berdekatan sebuah pusat beli-belah di sini.

Menurut mangsa, mereka kemudian berbincang dengan cucu doktor yang turut mengakui pandai menilik nasib.

Katanya, cucu doktor itu memberitahunya akan berlaku musibah kepada salah seorang anaknya.

Wanita itu mengaku dapat mengubah nasib buruk pengadu dengan syarat dia mengeluar wang simpanan dianggar lebih RM50,000 dan semua barang kemasnya (nilai tidak pasti) perlu disimpan di dalam bekas plastik berwarna hitam untuk dijampi.

Pengadu diarah pergi ke bank membuat pengeluaran wang dan balik ke rumah  mengambil barang kemasnya.

Salah seorang daripada mereka diarah cucu doktor itu untuk mengiringi mangsa pergi ke dua bank.

Seperti dijanji, mangsa kembali semula ke bawah jejantas itu sebelum cucu doktor memberinya tiga botol air mineral (kecil) untuk dibawa pulang.

Menurut pengadu, dia disuruh minum dan mandi menggunakan air mineral itu selain mencampurnya dalam masakannya.

Mangsa memberitahu, beg plastik yang mengandungi wang dan barang kemasnya telah bertukar tangan ketika cucu dokor memberikannya bekas plastik beg lain tanpa disedarinya.

“Saya tidak dibenar membuka beg tersebut sehingga tempoh seminggu sebagai syarat utama yang perlu dipatuhi,” kata pengadu.

Namun setelah genap seminggu, seperti yang dijanji, pengadu pergi semula ke bawah jejantas untuk bertemu cucu doktor dan dua wanita warga China terbabit pada jam 9 pagi semalam.

Bagaimanapun, ketiga-tiganya langsung tidak muncul setelah mangsa menunggu hampir sejam. Mangsa kemudian membuka beg plastik tersebut dan mendapati wang serta emasnya bertukar air mineral, garam dan biskut.

Kecewa setelah menyedari ditipu, mangsa terus pergi membuat laporan polis di Balai Polis Sentral mengenai insiden malang itu.

Kes tersebut kini dalam siasatan polis.