Alberts enggan pisang berbuah dua kali

0

Sarawak mungkin akan gugur Gabor, elak permulaan kempen Liga Malaysia 2015 terjejas

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Sarawak mungkin terpaksa mengambil langkah drastik menggugurkan pemain pertahanan, Gabor Gyepes yang mengalami kecederaan bagi mengelak permulaan kempen Liga Super 2015 mereka terjejas.

Ketua Jurulatih Robert Alberts berkata, skuad perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku pada awal musim 2014 di mana mereka kehilangan penyerang Muamer Salibasic akibat kecederaan.

Situasi itu menyebabkan kempen Liga Super Sarawak pada awal musim agak terjejas, ditambah lagi prestasi turun naik bekas penyerang Alirezza Abbasfard dan Milorad Janjus.

“Kita tidak mahu masalah kecederaan pemain menjejaskan peluang Sarawak untuk memburu kejuaraan pada musim depan,” jelas Alberts.

“Memang kita amat kecewa dan bersimpati dengan nasib yang menimpa Gabor. Beliau memainkan peranan yang sangat penting dalam skuad.

“Namun, pada masa yang kita harus memikirkan masa depan Sarawak dan ia tetap menjadi keutamaan.”

Masa depan Gabor, 33, dengan Sarawak berada di hujung tanduk selepas beliau mengalami kecederaan keretakan ibu jari kaki kanan semasa latihan memaksa pemain itu terpaksa direhatkan selama enam minggu.

Teka-teki beliau bakal digugurkan semakin kuat dengan kehadiran pemain pertahanan kelahiran Perancis, Jimmy Modeste yang turut menyertai kem latihan di Miri bermula hari ini.

Alberts turut mengesahkan, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) masih belum menawarkan kontrak baharu kepada Gabor selepas menerima laporan kurang menyenangkan itu.

“Saya masih belum menerima lampu hijau dari FAS untuk mencari pemain baharu.

“Namun, kita akan memastikan masalah ini diselesaikan secepat mungkin agar kempen Sarawak tidak terjejas seperti apa yang berlaku pada musim lepas,” ujar beliau.

Gabor masih mempunyai baki kontrak selama setahun dengan Sarawak sejak menyertai skuad itu pada awal 2014.

Beliau menyumbang dua gol semasa saingan Liga Super musim ini.

Skuad baharu Ngap Sayot akan diuji pilihan Miri dalam perlawanan persahabatan berlangsung petang ini.

Mereka juga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Sabah Ahad ini (30 November) sebelum menentang pilihan Limbang pada 2 Disember.