CMS tak pernah ambil kesempatan

1

SELAMAT ULANG TAHUN: Tun Taib bersama tetamu kehormat lain memotong kek Ulang Tahun ke-40 CMS di BCCK malam kelmarin.

Tun Taib tutup CMS daripada kehidupannya kerana tidak mahu konflik

Oleh Nick Fletcher //

KUCHING: Cahya Mata Sarawak (CMS) tidak pernah mengambil kesempatan daripada hubungannya dengan kerajaan negeri untuk menjadi sebuah entiti perniagaan yang berjaya, kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri, beliau telah menutup CMS daripada kehidupannya kerana tidak mahu melihat sebarang konflik.

“Ketika saya sebagai Ketua Menteri, saya melihat CMS tidak mengambil kesempatan daripada hubungan mereka dengan saya kerana saya menutupnya daripada kehidupan saya sehingga sekarang.

“Saya sangat gembira melihat pengurusan CMS faham kenapa saya terpaksa menyisihkan mereka kerana saya tidak mahu melihat sebarang konflik di antara kepentingan peribadi dan tugas saya sebagai Ketua Menteri,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun Ke-40 CMS di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam kelmarin.

Dalam pada itu, Tun Taib berkata beliau gembira melihat CMS memainkan salah satu peranan seperti mana-mana syarikat lain di Sarawak.

Katanya, CMS telah memilih dengan baik untuk memberi tumpuan kepada peranannya sekarang, walaupun ada kemungkinan ia perlu melibatkan diri dengan lebih giat lagi dalam perkhidmatan kewangan atas peranannya dalam memaju dan mengembangkan Kenanga, yang merupakan sebuah syarikat perkhidmatan kewangan Malaysia.

“Ia terpulang kepada CMS untuk menentukannya sekarang kerana ia sangat kukuh dan jika mahu mempelbagaikan kegiatan, saya harap ia akan melakukan kepelbagaian ini juga seperti apa yang dilakukan dalam perniagaan terasnya sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Tun Taib memuji usaha CMS yang mengambil langkah sangat berani untuk menyokong Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) supaya kerajaan tidak perlu mewujudkan sebuah lagi badan berkanun kerajaan untuk memastikan kejayaan projek tersebut.

“Berdasarkan prestasi SCORE setakat ini, ia telah berkembang dengan lebih cepat daripada yang dijangkakan.

“Saya sangat gembira kerana CMS telah memainkan peranan dengan sangat serius dan kemungkinan akan memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan SCORE pada masa depan,” katanya.