Dendam kesumat

0

MASUK LOKAP: Lima warga India yang berjaya ditahan sejurus selepas pergaduhan di Jalan Lanang, awal pagi semalam.

KENA PUKUL: Seorang daripada dua lelaki yang berasal dari Sabah cedera di kepala dibawa ke balai polis, petang semalam.

DIRAMPAS: Kereta Toyota Avanza yang dirampas daripada kumpulan warga India terbabit.

 

 

Oleh Michael Ubam //

SIBU: Akibat dendam belum terbalas, dua lelaki berasal dari Kudat, Sabah cedera di kepala selepas dipercayai dipukul dengan kayu dan batang besi oleh sekumpulan lelaki warga India dalam satu pergaduhan di sebuah kedai kopi di Jalan Lanang, awal pagi semalam.

Menurut seorang mangsa berusia 28 tahun yang enggan dikenali, dia bersama 11 rakan lain menjamu selera di kedai kopi tersebut sekitar jam 2.30 pagi apabila sekumpulan lebih daripada 10 lelaki warga India menyerang mereka.

“Ada di antara mereka membawa kayu seperti kayu besbol dan batang besi lantas menyerang kami. Kami terpaksa bertindak demi mempertahankan diri,” katanya.

Akibat serangan itu, katanya, dia cedera di kepala dan salah seorang rakannya yang berumur 31 tahun mengalami kecederaan parah setelah dipukul di kepala, bahu dan rusuk.

Katanya, ada di antara mereka cedera ringan dan keadaan tidak membimbangkan, manakala dia bersama rakannya yang parah dikejarkan ke Hospital Sibu dengan ambulans dan menerima beberapa jahitan di kepala.

Menurutnya, dia percaya kumpulan warga India terbabit masih berdendam dengan mereka selepas perselisihan faham berlaku di sebuah pusat hiburan di kawasan sama pada malam sebelumnya.

“Kami empat sekawan berasal dari Sabah berhibur di pusat hiburan berkenaan pada malam sebelumnya. Seorang lelaki India tidak dikenali tiba-tiba muncul, sengaja cari pasal ketika seorang pelayan wanita bersembang dengan kami,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka kemudian bertengkar lalu bergaduh sehingga di luar pusat hiburan, namun keadaan reda dan kedua-dua kumpulan pulang ke rumah sewa selepas kemunculan pihak polis.

“Kami kemudiannya keluar makan di kedai kopi tersebut, namun tidak menyangka kumpulan warga India itu datang menyerang,” jelasnya.

Polis peronda MPV dimaklumkan orang awam mengenai pergaduhan itu berjaya menahan lima warga India berusia antara 20-an dan 30-an ketika sedang menaiki sebuah kereta Toyota Avanza.

Mereka kemudiannya diheret ke balai polis, manakala kereta Avanza tersebut dirampas.

Bagaimanapun, polis turut menahan 12 lelaki dari Sabah dipercayai terbabit dalam pergaduhan bagi membantu siasatan polis.

Difahamkan, polis masih menjejaki beberapa lagi lelaki warga India yang terbabit dalam insiden itu.

Kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.