Hatrik Mandzukic bantu Atletico melangkah bergaya

0

Rekod sempurna kekal selepas jaringan tunggal Ronaldo pastikan Madrid menang 1-0 di Basel

PARIS, Perancis: Penyerang Mario Mandzukic menjaringkan hatrik ketika finalis musim lepas, Atletico Madrid, menempah tempat ke pusingan kedua Liga Juara-Juara apabila menewaskan Olympiakos 4-0 Rabu lepas.

Juventus berada di kedudukan selesa untuk menyertai Atletico ke pusingan kedua dari Kumpulan A selepas gol dari Fernando Llorente dan Carlos Tevez memastikan kemenangan 2-0 di Malmo, yang disingkirkan dari saingan.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone, memberi amaran kepada pemainnya untuk tidak terlalu yakin menjelang perlawanan terakhir mereka nanti.

“Kami tahu ia pasti sangat sukar,” katanya.

“Tiada siapa memikirkan kami akan berada pada kedudukan ini (selepas tewas perlawanan pertama) dan terima kasih di atas usaha pemain di mana kami sudah menang empat perlawanan berturut-turut dan boleh memenangi kumpulan ini.”

Olympiakos masih boleh layak selaku naib juara kumpulan tetapi harus menewaskan Malmo pada perlawanan terakhir dan berharap Juventus tewas kepada Atletico di Itali.

Raul Garcia membuka jaringan buat Atletico sebelum Mandzukic berpesta gol tetapi Atletico masih perlu keputusan seri menentang Juventus di Turin dua minggu akan datang – atau satu kekalahan dengan tidak lebih dari satu gol – untuk menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan A.

Arsenal, yang tewas dua perlawanan terakhir dalam liga kepada Swansea dan Manchester United, juga mengesahkan tempat ke pusingan kedua dengan Yaya Sanogo menjaringkan gol pertamanya bersama Arsenal.

Gol beliau, ketika permainan baharu berlangsung dua minit, diikuti dengan gol Alexis Sanchez dalam separuh masa kedua membantu Arsenal menewaskan Borussia Dortmund 2-0 di Emirates, walaupun kelab dari Jerman itu masih mendahului Kumpulan D dengan kelebihan dua mata berbanding Arsenal.

“Kami adalah sebuah pasukan yang suka menyerang tetapi kadang-kadang kami menguasai permainan dan lupa untuk bertahan tetapi kami bermain dengan lebih baik malam ini (Rabu),” kata pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Dua gol oleh Chancel Mbemba membolehkan Anderlecht mencipta kemenangan pertama dalam pusingan pertama apabila menewaskan Galatasaray 2-0 untuk mengesahkan tempat ke kejohanan Liga Europa.

Pada perlawanan lain, juara bertahan, Real Madrid, mengekalkan rekod sempurna dalam pertandingan ini apabila Cristiano Ronaldo menjaringkan gol tunggal perlawanan pada aksi Kumpulan B di Basel.

Gol itu, hasil umpanan Karim Benzema, membolehkan Ronaldo berkongsi kedudukan dengan bekas bintang Real, Raul, dengan 71 gol Eropah, di belakang Lionel Messi yang mencipta rekod baharu dengan 74 gol di Eropah Selasa lepas apabila menjaringkan hatrik.

Keputusan itu juga menghidupkan peluang Liverpool untuk layak ke pusingan kedua walaupun seri 2-2 di Ludogorets dari Bulgaria dengan Georgi Terziev menjaringkan gol penyamaan lewat.

Liverpool dan Ludogoretz ketinggalan dua mata di belakang Basel, yang berada di tangga kedua tetapi Liverpool tahu mereka harus menang di Anfield pada perlawanan terakhir untuk memastikan kelayakan ke pusingan kedua kerana jika tidak, Basel akan bersama-sama Real Madrid ke pusingan kedua.

“Kami kecewa kerana bolos gol pada akhir permainan tetapi ia tidak penting, kami perlu menewaskan Basel pada perlawanan terakhir,” kata pengurus Liverpool, Brendan Rodgers, yang tetap berasa gembira dengan keputusan itu.

“Ini adalah satu perangsang keyakinan bagi kami kerana Ludogorets adalah lawan yang sukar.”

Bayer Leverkusen juga mengesahkan kelayakan ke pusingan kedua walaupun tewas 0-1 kepada Monaco di tempat sendiri dalam aksi Kumpulan C.

Lucas Ocampos menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika berbaki 18 minit permainan dan ini bermakna Monaco perlu mengelak kekalahan pada perlawanan menentang Zenit St Petersburg untuk menyertai Leverkusen ke pusingan kedua.

Zenit menewaskan Benfica 1-0 di Rusia – keputusan yang membantu kelayakan Leverkusen.

Leverkusen boleh memastikan mereka muncul juara Kumpulan C jika menang di Benfica sementara Zenit harus menewaskan Monaco dalam masa yang sama. — AFP