Kanak-kanak parah terkena tembakan senapang datuk

0

KUCHING: Seorang kanak-kanak perempuan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak semalam selepas terkena tembakan senapang angin dipercayai akibat kecuaian datuknya sendiri.

Menurut laporan polis, pada Rabu lalu pengadu menerima panggilan daripada pihak Hospital Saratok yang mengatakan ada menerima seorang pesakit yang terkena tembakan dipercayai senapang angin (peluru guli) di bahagian kiri kepala mangsa.

Mangsa dari Kampung Ulu Kupang, Saratok yang berusia setahun sembilan bulan itu seterusnya dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Lelaki yang melepaskan tembakan itu dipercayai datuk mangsa sendiri.

Mangsa ditempatkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HUS dan kini dalam keadaan stabil.

Menurut bapa mangsa, peluru guli itu tidak dapat dikeluarkan kerana berisiko.

Suspek yang berusia 54 tahun dari Kampung Kupang, Saratok ditahan sekitar jam 3.47 petang semalam di Kuching oleh pasukan D9 semasa mengiringi cucunya itu bersama ahli keluarga lain ke HUS.

Suspek akan dibawa ke Saratok hari ini untuk ditahan reman dan membuat rampasan barang kes.

Hasil siasatan awal dengan maklumat yang diperolehi mendapati suspek dengan cuai melepaskan tembakan sehingga terkena bahagian kiri kepala mangsa yang menyebabkan kecederaan parah.

Kes masih lagi dalam siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.