Kaum wanita disaran sertai PERWANI 1Malaysia

1

SEBUYAU: Kaum wanita peringkat kampung serta rumah panjang di negeri ini disaran menubuhkan Pasukan Sukarelawan Wanita (PERWANI) 1Malaysia supaya dapat menjalankan aktiviti kemasyarakatan di samping menyalur maklumat dan dasar kerajaan secara tepat kepada rakyat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Komuniti PERWANI 1Malaysia yang bermatlamat membentuk jaringan wanita dengan ahli antara 10 dan 20 orang setiap kumpulan bakal menjadi penggerak transformasi di peringkat komuniti.

“Dengan kekuatan jaringan PERWANI, penyaluran dan penyebaran maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan dapat disampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi termasuk pelaksanaan kerja sukarelawan,” ujarnya.

Rohani merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Pegawai Khasnya, Mohd Speri Abdul Karim semasa merasmikan Komuniti PERWANI Kampung Sungai Tambai dan Kampung Bajong Hulu di sini pagi semalam.

Komuniti PERWANI 1Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 17 Mac 2013 di Putrajaya sekali gus pelancaran serentak di seluruh negara.

“Kementerian menyasarkan sebanyak 100,000 kumpulan PERWANI 1Malaysia ditubuh di seluruh negara menjelang 2015,” katanya.

Dalam usaha untuk mencapai sasaran itu, katanya, kementerian telah menetapkan strategi untuk mendaftar sebanyak 30,000 kumpulan PERWANI 1Malaysia bagi 2014.

“Sasaran penubuhan kumpulan PERWANI bagi negeri ini adalah sebanyak 3,000 kumpulan. Sehingga 7 November ini, sebanyak 10,248 kumpulan PERWANI 1Malaysia berjaya ditubuhkan dengan keahlian sebanyak 132,538 di seluruh negara.

“Bagi Sarawak pula, sebanyak 739 kumpulan PERWANI 1Malaysia berjaya didaftar dengan jumlah keahlian seramai 10,834 orang,” katanya lagi.

Hadir sama Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Sebuyau Ajis Ahmad, Pengerusi PERWANI 1Malaysia Kampung Sungai Tambai Dina Andrew, Pengerusi PERWANI 1Malaysia Kampung Bajong Hulu Demi Gikin, Pengerusi JKKK Kampung Skitong Hulu Kujat Budi serta yang lain.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan pertandingan poco poco, pertandiangan karaoke, cabutan nama bertuah dan acara memotong kek.