Main gelongsor, tercacak kabel

0

MENAHAN KESAKITAN: Kanak-kanak terbabit yang masih tercucuk kabel besi di pahanya dibawa ke hospital.

KUCHING: Keseronokan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun menghabiskan masa cuti sekolah dengan bermain di pekarangan ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bertukar tragedi apabila dia tercucuk kabel besi, semalam.

Kanak-kanak lelaki dari Samariang itu dikatakan pergi ke pekarangan DBKU di Bukit Siol, Petra Jaya sekitar jam 8.30 pagi bersama beberapa rakannya untuk bermain serta menggelongsor di lereng bukit berumput di situ.

Selepas menggelongsor beberapa kali, kanak-kanak terbabit memutuskan untuk membuat aksi yang sama di bahagian lain bukit berkenaan, namun dia tercucuk kabel besi pada paha kanannya.

Rakan-rakanya yang tergamam segera memaklumkan kejadian itu kepada kakitangan di bangunan berkenaan.

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dihubungi untuk menghantar kanak-kanak terbabit ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Sementara itu, ketika di hospital doktor tidak dapat memotong kabel besi yang tebal itu, justeru mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menghantar sepasukan unit kecemasan dan kemalangan untuk membantu mengeluarkan kabel terbabit.

Bomba mengambil masa 10 minit untuk memotong kabel besi berkenaan sebelum doktor merawat paha mangsa.