MPP gesa pemaju lebih ‘tekun’ keluarkan surat hak milik strata

0

KUCHING: Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang menggesa pemaju perumahan sama ada sektor awam atau swasta agar lebih ‘tekun’ mengeluarkan surat hak milik strata atau tanah bagi rumah yang dibina oleh mereka.

Lo yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Kota Sentosa berkata, masalah dengan pemaju tertentu ialah mereka berlengah-lengah memohon surat hak milik tersebut selepas menerima bayaran.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memeriksa Permit Menduduki (OP) tetapi pemprosesan surat hak milik tanah atau strata adalah urusan antara Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan pemaju,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPP di sini semalam.

Lo berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan pembeli rumah pangsapuri kos rendah di Taman Flora Indah berkaitan kelewatan mengeluarkan surat hak milik tanah strata.

Beliau mengesahkan OP sudah dikeluarkan bagi pangsapuri kos rendah di Taman Flora Indah dan memberitahu beliau sudah memberi kenyataan terbuka empat tahun lalu untuk meminta agar pengeluaran surat hak milik tanah strata bagi flat tersebut dipercepatkan.

Beliau memuji inisiatif kerajaan negeri untuk memantau pengeluaran surat hak milik tanah dan berpendapat ia mendorong pemaju lebih serius memohon surat hak milik tanah atau strata untuk projek perumahan mereka.