MPP naik cukai pintu 1% pada 2015

1

Lo yakin kadar kenaikan taksiran tidak akan membebankan penduduk

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) akan menaikkan kadar taksiran cukai pintu sebanyak satu peratus mulai tahun depan.

Pengerusinya Lo Khere Chiang berkata, peningkatan kecil itu diyakini tidak membebankan penduduk di bawah pentadbiran MPP kerana cukai pintu di negeri ini masih lagi dalam kategori paling rendah di Malaysia.

“Mulai 2015, kadar taksiran cukai pintu akan dinaikkan sebanyak satu peratus dan peningkatan kecil ini pastinya tidak membebankan penduduk di bawah pentadbiran MPP,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Menjelas lanjut mengenai kenaikan itu, Lo berkata ia adalah sebanyak RM3.30 bagi setiap pembayaran RM100 cukai pintu.

Tambahnya, setakat 1 Oktober tahun ini, terdapat 69,355 hartanah yang boleh dikenakan cukai pintu di bawah pentadbiran MPP.

“Sebanyak 90 peratus daripada jumlah itu adalah perumahan, manakala selebihnya kawasan komersil dan perindustrian,” katanya lagi.

Beliau memberitahu, peningkatan kadar taksiran cukai pintu itu juga akan mengatasi masalah defisit yang dialami oleh MPP.

“Cukai pintu ini tidak dinaikkan sejak 2007 iaitu tujuh tahun lalu dan pada tahun hadapan, kita terpaksa menaikkannya,” jelasnya.

Menurutnya, hasil kutipan MPP dijangka meningkat sebanyak RM2.3 juta kepada RM25.2 juta pada tahun depan dengan RM1 juta adalah daripada peningkatan kadar taksiran cukai pintu itu.

“Malah, MPP juga menjangka sebanyak RM1.3 juta cukai pintu dikutip bagi kawasan hartanah yang baharu dibina,” katanya lagi.

Selain itu, Lo memberitahu penduduk di kawasan pentadbiran MPP yang kurang upaya (OKU) dan miskin tegar boleh mendapatkan pengecualian bayaran cukai pintu.

“Mereka (OKU dan miskin tegar) ini boleh datang ke MPP untuk mengisi borang supaya kita dapat memberi pengecualian,” ujarnya.