Padang Penjara akan dipertahan dengan apa jua cara, ikrar Fadzil

0

SIBU: Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (SFA) akan mempertahankan Padang Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di Jalan Awang Ramli Amit dengan apa jua cara agar padang warisan itu terus wujud untuk generasi akan datang.

Pengerusi SFA Fadzil Tamam berkata, beliau sendiri akan bertemu dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bagi mempertahankan padang tersebut sekiranya tapak padang itu diambil alih untuk dimajukan dengan projek lain pada masa akan datang.

“Persatuan akan mempertahankan padang ini dengan apa cara sekalipun. Jika padang ini diambil untuk projek pembangunan, saya sendiri akan bertemu dengan Ketua Menteri.

“Ini kerana ketika masih kecil dahulu, Ketua Menteri pernah bermain bola sepak di situ bersama-sama dengan saya,” ujarnya kepada pemberita, petang semalam.

Fadzil ditemui selepas majlis penyerahan hadiah bagi Piala Lea/Sibu FA 2014 di Lea Sports Centre (LCS), Wisma Sanyan. Hadir sama ialah Setiausaha SFA Abdul Hajis Abdullah serta Pengurus Runcit LCS Chiew Kam Chiong.

Piala Lea/Sibu FA 2014 akan bermula 29 November ini di Stadium Tun Zaidi. Perlawanan akhir dijadual berlangsung pada 28 Disember.

Menurut Fadzil lagi, persatuan juga telah bertemu dengan Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong pada Isnin lepas berhubung keadaan Padang Awam MPS atau lebih dikenali sebagai Padang Penjara itu.

“Padang ini sepatutnya menjadi padang terbaik di Sibu, meskipun padang agak kecil. Namun kita amat menghargainya kerana padang ini satu-satunya tempat golongan belia menjalani latihan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai padang di Stadium Tun Zaidi, Fadzil memberitahu masih banyak yang perlu dilakukan bagi membolehkan padang tersebut dijadikan tempat bagi penganjuran kejohanan besar seperti Piala Sarawak, Piala Isuzu dan sebagainya.

“Kita tidak dapat memohon kejohanan besar diadakan di Sibu buat masa ini. Namun jika padang stadium itu diselenggara dengan baik, mungkin bulan Jun atau Julai tahun depan, kita boleh menganjurkan kejohanan besar di situ,” ujar beliau.

SFA menurut Fadzil, juga pernah memohon pembinaan padang baharu untuk Sibu yang terletak di belakang Dewan Masyarakat Teku bagi menambah jumlah bilangan padang di sini.

Sementara itu, menurut Abdul Hajis, persatuan mahu setiap kawasan seperti Kampung Sentosa, Sibu Jaya, Kemuyang dan sebagainya mempunyai sekurang-kurangnya sebuah padang bola sepak.

“Ini supaya ada banyak tempat untuk kita bermain dan pada masa sama dapat melahirkan lebih ramai pemain,” ujarnya.