Seludup rokok, k’jaan rugi RM1.9b setahun

0

BINTULU: Aktiviti penyeludupan rokok menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.9 bilion setiap tahun kerana terlepas duti kastam, kata Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Matrang Suhaili.

Jelasnya, ia menggambarkan betapa besarnya kerugian yang kerajaan tanggung akibat kegiatan penyeludupan rokok semakin berleluasa.

“Bagaimanapun, JKDM berjaya mengutip cukai sebanyak RM3.5 bilion ke atas rokok setiap tahun. Jumlah itu menyumbang sebanyak 11 peratus kepada hasil kutipan jabatan berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Khidmat Bakti Masyarakat 2014 anjuran JKDM di Balai Raya Kampung Jepak di sini, pagi semalam.

Secara umum, jelasnya, kutipan cukai ke atas rokok merupakan jumlah kedua terbesar selepas cukai kenderaan dan sindiket itu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian besar.

Katanya, Sarawak antara negeri tertinggi mencatat kes penyeludupan rokok pada 2013 yang membabitkan 187 kes, merangkumi jumlah cukai sebanyak RM2.5 juta.

“Di Bintulu sahaja, JKDM mencatatkan sebanyak 60 kes yang melibatkan cukai sebanyak RM24,000,” tambahnya.

Beliau berharap Program Khidmat Bakti Masyarakat itu serta program pengisiannya memberi impak positif terhadap komuniti setempat agar tidak membeli rokok yang tidak dikenakan cukai.