SK Tatau tekankan pendidikan agama kepada murid-murid

0

SERAMAI 60 murid Is­lam tahun enam khatam al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran Se­kolah Kebangsaan (SK) Tatau di Surau Al Falah sekolah itu di Bintulu, baru-baru ini. Perasmian majlis yang bermula pada jam 3 petang hingga 5 petang itu disempurnakan oleh pengerusi merangkap Imam Masjid Daerah Tatau, Haris Sisik.

Ketua Kampung Da­gang Tatau Satim Gapar, Ketua Jawatankuasa Ke­majuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tatau, Awang Bujang Pengiran Runa, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sa­lihin Talip dan Penyelia Petang Awang Ali turut hadir pada program itu.

“Kita berharap semua guru dan kakitangan sekolah akan terus me­mantapkan tugas dengan memberi tumpuan men­didik murid-murid untuk mendalami ilmu agama terutama mengamal nilai-nilai baik dalam al-Quran supaya dapat menjadi panduan hidup mereka pada masa hadapan,” ujar Guru Besar SK Tatau Janudin Ab Rahman.

Katanya, tanpa ilmu agama, sesebuah masyarakat Islam itu akan menjadi porak per­anda terutamanya dalam menghadapi pelbagai cabaran yang mendatang.

Justeru katanya, untuk memantapkan pemben­tukan akhlak murid-murid SK Tatau, pada tahun ha­dapan, murid-murid Islam lelaki akan diwajibkan memakai songkok dan murid perempuan pula memakai tudung semasa di sekolah.

“Pada hari Jumaat pula, murid-murid lelaki diwajibkan memakai baju kebangsaan Melayu putih dan bersampin biru. Guru-guru lelaki juga disaran memakai baju Melayu lengkap untuk memberi satu contoh yang baik kepada murid-murid,” katanya,

Beliau turut men­jelaskan pada setiap Jumaat akan diadakan Program Kerohanian dan Moral dari jam 6.30 pagi hingga 7 pagi yang merangkumi program bacaan surah Yasin dan solat sunat hajat di Surau Al Falah SK Tatau untuk murid-murid Islam dan ceramah moral di dewan sekolah untuk murid-mu­rid bukan Islam.

Sementara itu, Haris mengucapkan peng­hargaan kepada para guru yang mengajar anak-anak didik mereka sehingga berjaya meng­habiskan atau khatam bacaan al-Quran.

“Diharap pada tahun hadapan lebih ramai murid yang khatam al- Quran,” katanya sambil menambah majlis itu bukan sekadar untuk meraikan kejayaan anak-anak yang berjaya menamatkan bacaan al-Quran bahkan dapat menghayati pengajaran yang terkandung dalam ayat-ayat suci al-Quran.

Katanya, pihaknya menyokong usaha yang dilaksanakan oleh SK Tatau bagi menyuburkan minat membaca al- Quran dalam kalangan kanak-kanak sekolah. semasa bacaan `Asma Al Husna’.