Supa Fighter juarai futsal jemputan Kampung Tuie

0

SARIBAS: Tampil dengan kehebatan tersendiri pasukan Supa Fighter menjuarai Pertandingan Futsal Jemputan Kampung Tuie setelah menewaskan TFT Tuie dalam aksi final yang berlangsung di Gelanggang Futsal Kampung Tuie di sini, baru-baru ini.

Meskipun beraksi di gelanggang sendiri, pasukan TFT Tuie yang mempamerkan penguasaan permainan sekadar berpuas hati di kedudukan naib juara.

Juara dan naib juara masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berserta piala dan medal.

Manakala, pasukan Double Eleven Tuie yang berkelebihan bermain di tempat sendiri terpaksa berhempas pulas sebelum mengalahkan Halifah dari Kampung Serabang dalam perebutan tempat ketiga dan keempat.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Pengerusi SABERKAS Kampung Tuie, Supian Omar selepas aksi final kejohanan tersebut.

Jurucakap penganjur Kaunselor Suib Paie berkata, penganjuran kejohanan tersebut adalah wadah mengeratkan silaturrahim dan menyatu padu belia di kawasan Saribas.

Menurutnya, sokongan serta semangat setia kawan antara belia kawasan Saribas dengan masyarakat setempat sangat mesra sehingga mampu bekerjasama dalam apa jua aktiviti yang diadakan.

Suib yang juga Ketua Pergerakan Pemuda PBB Saribas memuji sikap keterbukaan masyarakat di situ dan keprihatinan mereka dalam setiap penganjuran program hingga mencapai tahap membanggakan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Saribas Mohamad Razi Sitam yang sangat proaktif dalam menyumbang idea dan sumbangan hadiah dalam setiap penganjuran program untuk menghargai sokongan padu rakyat terhadap pimpinannya.

Dalam pada itu, sumbangan idea yang bernas dapat menjadikan belia kawasan Saribas sentiasa aktif dalam bidang sukan dan keagamaan seterusnya memberi suntikan semangat untuk kejayaan pada masa akan datang.

Sebanyak 15 pasukan menyertai kejohanan yang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat sukan futsal daripada sekitar Saribas.