Taklimat insiden Selantik kepada kabinet hari ini

0

KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan akan memberi taklimat kepada kabinet negeri hari ini berhubung insiden lombong arang batu di Selantik, Sri Aman baru-baru ini.

Menurut beliau, siasatan ke atas insiden itu sudah dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains serta beberapa agensi berkaitan.

“Saya telah mengarahkan supaya lombong arang batu berkenaan dihentikan operasinya dan Jabatan Mineral dan Geosains serta beberapa agensi berkaitan telah melakukan siasatan.

“Siasatan masih berjalan dan saya akan menjelaskan perkara ini pada taklimat kepada kabinet mengenai insiden ini pada mesyuarat akan datang Jumaat ini,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 bagi Kampung Sungai Lumut di sini, semalam.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil, Awang Tengah yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata, ia bergantung kepada keputusan siasatan.

“Kita lihat bagaimana keputusan siasatan dan kita mencari apa punca sebenar insiden sama ada mereka mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP), langkah keselamatan atau mengikut panduan,” tegasnya.

Dalam insiden 22 November lepas, tiga warganegara asing maut dan sekurang-kurangnya 26 pekerja cedera apabila lombong arang batu tersebut meletup.

Mangsa keempat maut ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Selasa lepas.