Wenger berjaya tutup mulut pengkritiknya

0

LONDON, England: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, meraikan kejayaan pasukannya melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan menyelar pengkritiknya di dalam dan luar Stadium Emirates.

Wenger mendapati dirinya menjadi sasaran kritikan sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Borussia Dortmund dengan beberapa penyokong mendesak pemecatannya sementara Alisher Usmanov, pemegang saham kedua terbesar kelab, secara terbuka mengkritik Wenger.

Arsenal mengharungi permulaan musim terburuk mereka dalam tempoh 30 tahun dan satu lagi kekalahan kepada Dortmund akan menjejaskan peluang Arsenal untuk layak ke pusingan kedua dari Kumpulan D, sekali gus menambah tekanan ke atasnya.

Tetapi Wenger berjaya menutup mulut pengkritik apabila Yaya Sanogo menjaringkan gol pertamanya bersama Arsenal sebelum Alexis Sanchez melengkapkan kemenangan 2-0, sekali gus memastikan Arsenal beraksi di pusingan kedua kejohanan buat musim ke-15 berturut-turut.

Dengan kemenangan berharga ini, Wenger mengambil peluang untuk menggariskan kepercayaan ke atas pemainnya dan juga kurang hormat sesetengah pihak tentang cara pengurusannya.

“Saya tidak cuba untuk memikirkan tentang orang lain. Apa yang penting ialah apa yang kami lakukan dalam kelab. Kami bersatu,” kata Wenger.

“Pasukan ini mempunyai kualiti yang tinggi. Kami menunjukkannya dalam perlawanan. Kami berazam dan komited.

“Kami sedikit tertekan kerana tewas Sabtu (kepada Manchester United) lepas dan menjadi mangsa kealpaan benteng pertahanan kerana leka menyerang. Malam ini, kami mempunyai kekuatan untuk bertahan apabila mendahului 1-0.

“Apabila anda bekerja dalam kelab bola sepak, anda menyedari ia bukan mudah untuk mengekalkan konsistensi dan saya berasa sangat bangga apabila kelab ini melangkah ke pusingan kedua kejohanan sekali lagi.

“Kelab selayaknya mendapat pujian tetapi ia tidak cukup kerana kami mahukan lebih banyak lagi kejayaan.”

Keputusan Wenger memilih Sanogo, pemain kurang berpengalaman berbanding Lukas Podolski, mungkin memberikan ‘senjata’ kepada pengkritiknya jika pemain itu kurang menyerlah.

Tetapi pemain itu membalas kepercayaan dengan usaha pemain berusia 21 tahun dengan mempamerkan aksi memberangsangkan dan membantu membuka jaringan untuk mengurangkan tekanan pasukan.

Tetapi malang buat Wenger, Sanogo terpaksa dikeluarkan sebelum tamat permainan kerana kecederaan, yang semakin membimbangkan kelab selepas kapten pasukan, Mikel Arteta, direhatkan beberapa minggu kerana kecederaan betis, selain Jack Wilshere, Danny Welbeck, Theo Walcott dan Wojciech Szczesny yang turut dalam senarai kecederaan.

“Situasi kecederaan ini satu masalah kerana kami mempunyai banyak perlawanan dan sekarang kami sudah kehilangan dua lagi pemain,” tambah beliau. — AFP