Berguru dengan Real Madrid

0

CENDERAMATA: Yakub menyampaikan buku Program Pembangunan Bola Sepak Negara kepada Mawan (empat kiri) sebagai cenderamata ketika kunjungan hormat ke pejabat Mawan di Kuching semalam.

Sanchez antara tujuh jurulatih bola sepak ternama melatih pemain muda Sarawak 

Oleh Agnes Tugong //

KUCHING: Bekas pemain Real Madrid, Victor Sanchez antara tujuh jurulatih dari pasukan bola sepak ternama akan tiba di sini hari ini bagi Program Real Madrid Campus Experience bermula 1 hingga 15 Disember ini.

Program julung kali ini melibatkan seramai 320 orang pemain muda berumur lingkungan lapan hingga 14 tahun ke bawah yang dipilih dari akademik bola sepak dan sekolah-sekolah tertentu di negeri ini.

Ahli Majlis Penasihat Sarawak 1Malaysia (1MSAC), Irwan Zulkarnain berkata program itu merupakan sebahagian inisiatif iM Sarawak bagi pembangunan sukan dan belia dengan sokongan Majlis Pembangunan Bola Sepak Negara.

“Di bawah program ini, kita akan membawa para pembimbing dan bekas pemain Real Madrid ke bandar raya ini untuk mengadakan sesi bimbingan dengan seramai 320 pemain bola sepak kanak-kanak yang dipilih,” katanya  pada sidang media selepas kunjungan hormat kepada Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Sokongan Perkhidmatan (Strategi dan Pembangunan Coaching) Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Yakub Hussaini berkata Real Madrid Campus Experience merupakan program tambahan pembangunan bola sepak negara.

Dengan membawa jurulatih dan bekas pemain Real Madrid ke negeri ini untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bersama pemain-pemain pelapis muda negara sudah pasti meningkatkan standard permainan mereka.

Selain tujuh jurulatih dari Real Madrid, program itu juga melibatkan tujuh jurulatih tempatan di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara bagi membantu membimbing dan latihan di Padang C, Stadium Negeri di sini.

Sehubungan itu, Pengarah Projek Realmadrid Foundation Sergio Cervantes Martinez memberitahu Program Real Madrid Campus Experience mengandungi dua komponen tetapi bagi program di Sarawak hanya melibatkan satu komponen sahaja iaitu latihan bola sepak.

“Jurulatih kami akan tiba di Kuching esok (hari ini) dengan salah seorang daripada mereka ialah Victor Sanchez yang merupakan bekas pemain Real Madrid dan tiga lagi jurulatih fizikal Universiti Real Madrid.

“Apa yang menarik mengenai program ini ialah bukan sahaja mengenai permainan bola sepak, tetapi pada masa sama menekankan pendidikan di kalangan pemain.

“Justeru itu, para pelatih akan didedahkan aktiviti-aktiviti luar padang seperti kerjasama kumpulan, kepimpinan, tanggungjawab dan lain-lain,” katanya.