JKDM Sarawak pungut cukai RM896,439.36

0

BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak telah berjaya memungut cukai berjumlah RM896,439.36 bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini sehingga 26 November, kata Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili.

Jelasnya, lebih 50 peratus pungutan itu hasil duti eksport yang menjadi penyumbang terbesar manakala cukai perkhidmatan sebanyak RM123,803,324.46 atau 13.8 peratus daripada keseluruhan hasil negeri pula menjadi penyumbang kedua terbesar.

“Manakala cukai diperolehi daripada jualan import sebanyak 9.4 peratus, duti eksais (barangan import) 8.7 peratus, duti import 6.7 peratus, cukai jualan tempatan 5.2 peratus dan duti eksais tempatan 1.2 peratus serta selebihnya hasil bukan cukai dan hasil negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan akhbar selepas melancarkan Operasi Pacak Sarawak JKDM di Dataran Esplaned semalam.

Datuk Matrang menjelaskan, JKDM Bintulu mencatatkan pungutan hasil sebanyak RM344, 238,779.70 bagi tempoh sama tahun ini iaitu lebih 38 peratus daripada pungutan hasil negeri Sarawak.

Katanya, daripada segi penguatkuasaan, JKDM Sarawak berjaya merampas barangan seludup bernilai RM4,857,820.21 melibatkan cukai berjumlah RM8,007,784.86 melalui aktiviti penguatkuasaan sepanjang 11 bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, bagi tempoh itu, bahagian penguatkuasaan berjaya memperoleh 596 kes melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 dan bilangan kes menurun sebanyak 11.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Meskipun perolehan kes menurun, nilai dan cukai barangan dirampas meningkat berbanding tempoh sama tahun 2013, apabila masing-masingnya meningkat sebanyak 27.3 peratus dan 6.8 peratus.

“Manakala Cawangan Penguatkuasaan Bintulu berjaya merampas barangan seludup bernilai RM242,030.86 (penurunan sebanyak 6 peratus) melibatkan cukai berjumlah RM129, 883.98 (penurunan 82.5 peratus),” katanya.

Jelas Datuk Matrang, ia merupakan kutipan hasil aktiviti penguatkuasaan serbuan outlet, pemeriksaan rapi di pelabuhan serta sekatan jalan raya sepanjang 11 bulan pertama tahun ini.

“Sebanyak 104 kes diperolehi melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967. Bilangan kes diperolehi menurun sebanyak 0.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas,” katanya sambil menambah aktiviti penyeludupan banyak berlaku menjelang sambutan perayaan kerana permintaan tinggi terhadap barang seludup.

Katanya, JKDM Sarawak telah meningkatkan usaha mematah sumber bekalan dan penghantaran barang seludup melalui aktiviti rondaan dan pemeriksaan outlet lebih kerap.

Jelasnya, orang ramai turut digesa memberi kerjasama menyalur maklumat dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan Sarawak menerusi talian 082-333133. Orang ramai tidak perlu risau kerana identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.