Kastam rampas 15,288 rokok seludup di Bintulu

0

BINTULU: Lima serbuan membabitkan tiga kes dan dua tangkapan dalam operasi gempur dicatatkan di sini dengan rampasan 15,288 batang rokok seludup bernilai RM880 dan cukai tidak berbayar bernilai RM8,114.

Serbuan itu dilakukan oleh anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dua hari sebelum pelancaran Operasi Pacak Sarawak yang dirasmikan di sini, semalam.

Bercakap pada sidang media, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Matrang Suhaili berkata dua individu yang ditangkap telah direman dua hari dan dijangka didakwa di mahkamah.

“Ini merupakan tindakan awal kami ambil sebagai bukti betapa seriusnya kami menangani penyeludupan dan penjualan rokok haram di Sarawak,” ujarnya selepas melancarkan Operasi Pacak Sarawak di Dataran Esplaned semalam.

Katanya, dua ditangkap itu merupakan lelaki tempatan, 30-an, dan wanita berumur 63 tahun dan mereka dibawa ke mahkamah semalam untuk pendakwaan.

“Mereka didakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan memiliki barang larangan. Sabit kesalahan akan didenda 10 kali ganda cukai atau penjara tiga tahun. Kami akan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara bagi kesalahan pengedaran rokok,” katanya.

Menjawab soalan mengenai pemilihan Bintulu sebagai tempat pelancaran Operasi Pacak, Datuk Matrang menjelaskan, Bintulu dilihat sebagai ‘hot spot’ atau lokasi panas yang perlu diberi perhatian.

“Kehadiran penguat kuasa di sini menunjukkan ketegasan kami dalam menangani masalah pengedaran rokok haram. Pengedar akan didakwa di mahkamah,” tegasnya.

Katanya, operasi itu merupakan operasi bersepadu bukan sahaja oleh JKDM tetapi melibatkan agensi penguat kuasa serta pegawai lain antaranya Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tindakan ini dibuat mengikut peruntukan undang-undang agensi masing-masing dalam semangat setia kawan bagi mencegah penjualan dan pengedaran rokok haram selain memberi tumpuan kepada isu minuman keras,” jelasnya.

Matrang berharap akan dapat memutihkan kawasan Bintulu daripada kegiatan penjualan rokok dan minuman keras haram serta barang-barang seludup lain.

“Operasi ini juga bertujuan mematahkan rangkaian dan sumber pengedaran serta penjualan rokok haram atau barang lain di Bintulu,” katanya sambil menambah rondaan dari semasa ke semasa akan dijalankan ke premis yang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan itu.

Berhubung kutipan cukai, katanya, setakat ini, Sarawak merupakan satu negeri yang berjaya mencapai kutipan cukai sehingga RM902 juta dan menyasarkan akhir tahun ini boleh mengutip lebih RM1 bilion.