Kerajaan kehilangan RM1.9 bilion daripada hasil cukai rokok setiap tahun
Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //
BINTULU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mengutip RM3.5 bilion daripada RM33.13 bilion jumlah keseluruhan hasil kutipan cukai ke atas rokok bagi tahun 2013 sekali gus menjadi penyumbang hasil kedua terbesar selepas cukai kenderaan.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam Malaysia (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, kajian firma perunding mendapati jumlah kutipan yang hanya 11 peratus itu membuktikan banyak kes penyeludupan rokok berlaku.
Katanya, kajian yang sama mendapati 32 peratus daripada rokok dijual di pasaran seluruh negara merupakan rokok seludup.
“Keadaan ini berlaku disebabkan adanya permintaan apatah lagi kadar cukai tinggi bagi komoditi tersebut. Aktiviti penyeludupan rokok menyebabkan kerajaan kehilangan RM1.9 bilion daripada hasil cukai rokok tidak dapat dikutip setiap tahun,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran Operasi Pacak Sarawak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak 2014 di Dataran Esplaned semalam.
Tegasnya, fakta itu jelas menggambarkan betapa besarnya hasil negara hilang akibat aktiviti penyeludupan rokok.
Selain rokok, katanya, komoditi lain kerap dan banyak diseludup ialah minuman keras seperti bir, whisky, brandy dan beberapa jenama lain.
“Mengikut analisis kes yang diperoleh bahagian penguatkuasaan, sebanyak lebih 900 kes (12.5 peratus) membabitkan penyeludupan bir dan minuman keras setiap tahun direkodkan.
“Serta lebih 30 peratus bir dan minuman keras yang dijual di pasaran adalah hasil seludup yang menyumbang kepada kehilangan hasil negara melebihi RM500 juta setiap tahun,” katanya.
Katanya, JKDM mengambil serius berhubung kes penyeludupan berkenaan walaupun terpaksa berdepan ancaman besar.
Matrang berkata, JKDM berusaha keras melumpuhkan rangkaian bekalan rokok dan barang kritikal lain yang memasuki pasaran tempatan secara haram.
“Kami melipatgandakan operasi khas di sempadan darat Johor-Singapura, Malaysia-Thailand, pelabuhan utama negara, pulau bebas cukai Langkawi dan operasi outlet seluruh negara,” katanya.
Jelasnya, operasi outlet rokok bermula sejak Februari 2010 sehingga Oktober 2014 membabitkan 38,000 outlet yang melibatkan 10,000 kes dengan anggaran nilai barangan rampasan hampir RM200 juta.
“Kes tangkapan itu melibatkan 5,800 individu dan 645 orang telah didakwa di mahkamah. Manakala 1,370 kes yang lain masih dalam proses tindakan pendakwaan,” katanya sambil menambah menangani aktiviti penyeludupan dan pematuhan perundangan kuat kuasa merupakan cabaran berat dipikul JKDM dan agensi penguatkuasaan lain.
Dari Januari 2014 hingga 26 November 2014, JKDM Sarawak berjaya merampas rokok seludup bernilai RM609,709.23 bersamaan dengan cukai tidak berbayar sebanyak RM5,381,518.58 yang menjadikan ia komoditi utama dirampas tahun ini.
Timbalan Pengarah Kastam Penguatkuasaan Negeri Sarawak Assan Mohamad mewakili Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datin Dayang Fatimah Johari, Pengurus Kanan Perkhidmatan Perbandaran (PERBINDA) Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Awang Ali Awang Amin turut hadir pada majlis itu.