Misi capai 100 jutawan

0

Usahawan tempatan harus menyahut cabaran kembang perniagaan, jadi jutawan pada 2020

Oleh Mastura Ismail //

LIMBANG: Majlis Amanah Rakyat (MARA) berperanan mengangkat usahawan Bumiputera supaya mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) dalam melahirkan 100 jutawan setahun di seluruh negara.

Pegawai MARA Daerah Limbang Ajahar Abdul Latip berkata, hasrat itu berjaya dicapai di Semenanjung, apabila ramai usahawan Bumiputera muncul sebagai jutawan dan ia bukan sesuatu yang mustahil untuk direalisasikan di bahagian ini.

Beliau berkata, usahawan tempatan perlu menyahut cabaran untuk berjaya sekali gus menjadi jutawan menjelang 2020.

“MARA sebagai agensi milik penuh Bumiputera berusaha mengangkat Bumiputera setanding kaum lain sekali gus mencapai KPI dalam melahirkan 100 jutawan setahun,” ujarnya pada penutupan Kursus Bijak Mengurus Wang (BMW) di sini semalam.

Turut hadir ialah Pengerusi Kelab Usahawan MARA Limbang (KUSMA) Frederick Lalong, penceramah kursus yang juga Konsultan Nova Orient Sdn Bhd Mohd Sharip Abd Rahim dan Ketua Pemuda PBB Bukit  Sari Lawas Kaunselor Semie Nasip.

Jelas Ajahar lagi, MARA berusaha membimbing usahawan mengembang dan memajukan perniagaan masing-masing.

Beliau menjelaskan, melalui kajian antara kelemahan dihadapi usahawan ialah tidak mempunyai akaun syarikat.

“Kita amat menggalakkan mereka agar membuka akaun syarikat bagi memudahkan proses perniagaan,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, usahawan perlu berpegang kepada konsep duit untuk berjaya sekali gus menjadikan konsep itu sebagai amalan.

“Konsep duit bermaksud doa, usaha, ilmu dan tawakal perlu diamal dalam perniagaan serta membuang sikap malas jika ingin berjaya,” tambahnya.

Beliau memberitahu, usahawan tempatan perlu berfikir di luar kotak sejajar keadaan geografi Limbang dan Lawas yang terpisah dengan negara jiran Brunei.

Menyentuh mengenai perancangan MARA, katanya, selain mempunyai beberapa medan niaga untuk usahawan di Limbang, agensi itu juga dalam perancangan membeli lot kedai di Lawas.

Selain perniagaan, katanya, MARA menumpukan kepada aspek pendidikan dengan penubuhan Maktab Rendah Sains MARA di Lawas pada masa depan.

“MARA bakal melancarkan kedai kontena luar bandar di daerah Limbang dan Lawas yang berkonsepkan tanah kerajaan. Kedai berkenaan akan disewakan kepada pengusaha,” katanya.

Beliau berkata lagi, MARA sedang mengembang jaringan kerjasama bukan sahaja antara usahawan tempatan di sini, malah turut mengadakan usaha sama perniagaan dengan negara Brunei termasuk mengadakan Uptown MARA di Brunei pada Februari tahun depan.

Terdahulu, seramai 36 usahawan daripada Lawas dan Limbang menyertai kursus BMW. Sebelum ini kursus rancangan peniagaan turut kepada usahawan tempatan.

Ajahar berkata, pelbagai kursus keusahawanan akan diadakan pada masa depan untuk membimbing dan memberi pengetahuan kepada golongan sasar dalam usaha menjadi usahawan berjaya.